My Add

Friday 20 April 2012

Pasangan kekasih rentung dalam kebakaran di Klang

KLANG, JUMAAT, 20 April, 2012: Sepasang kekasih ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah bilik di tingkat dua sebuah rumah kedai di Jalan Hulubalang, Taman Desa Ablelink di sini, awal pagi tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Zulkepli Othman, berkata Chua Keh Siong, 40, dan Seh Pei Kim, 34, dipercayai mati akibat terhidu asap berlebihan.

Beliau berkata, jabatan bomba menerima panggilan pada kira-kira jam 6.14 pagi dan mengerahkan 15 anggota dari Balai Bomba Taman Seri Andalas dan Kota Raja ke tempat kejadian dalam masa 12 minit.

"Bagaimanapun, semasa pasukan kami tiba, api di bilik tidur tingkat dua di bangunan rumah kedai empat tingkat itu sudah tidak marak lagi. 

"Selepas api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 6.46 pagi, kami jumpa dua mayat yang terletak kira-kira satu meter antara satu sama lain di atas lantai," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini,hari ini. 

Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula di bahagian bilik tidur rumah kedai itu, yang menempatkan tiga bilik secara keseluruhan dan punca serta jumlah kerugian sedang disiasat. 

Zulkepli berkata, forensik bomba turut menjumpai sebuah tong dipercayai mengandungi bahan bakar di bilik pasangan itu. 
Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat. 

Sementara itu, seorang jiran pasangan itu, yang enggan dikenali, berkata beliau terkejut dari tidur selepas mendengar bunyi letupan kuat dari bilik pasangan itu lalu memaklumkan kejadian itu kepada bomba. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment