My Add

Sunday 22 April 2012

Caris panduan strategi pelancongan tanpa jejas alam sekitar

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan kanak-kanak kumpulan Permata Seni Koir selepas perasmian Persidangan Tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Ng Yen Yen (tiga, kanan) dan Hiran Cooray (kanan). - BERNAMA

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 April, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu persidangan tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) merangka garis panduan strategi baru bagi memperluaskan industri pelancongan tanpa menjejaskan alam sekitar.

Beliau berkata, persidangan itu adalah landasan penting menyalur, mengenal pasti cadangan yang berkesan, spesifik dan berdaya maju yang boleh digunakan sebagai garis panduan berkenaan untuk dilaksanakan oleh semua pihak berkaitan di pelbagai peringkat.

''Komuniti perniagaan, pihak berkuasa kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama membangunkan strategi dan model perniagaan baru dengan mengambil kira mekanisme dan perlindungan alam sekitar yang mapan,'' katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Tahunan PATA yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Pengerusi PATA, Hiran Cooray di sini, hari ini.

Persidangan kali ini bertema Pembangunan Perniagaan Mengatasi Keuntungan diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan dihadiri 532 delegasi daripada 30 buah negara.

Muhyiddin juga berharap delegasi PATA 2012 dapat bertukar-tukar maklumat dan usaha berhubung kesan buruk perubahan cuaca terhadap tempat-tempat tarikan semula jadi termasuk perniagaan dan aktiviti pelancongan.

''Mungkin kita perlu mengenal pasti langkah baru dan mengukuhkan lagi langkah yang ada sekarang bagi mengurangkan kesan perubahan cuaca terhadap industri pelancongan,'' katanya.

Ini kerana katanya, tarikan pelancongan di rantau Asia Pasifik lebih tertumpu kepada eksplorasi alam dan alam semula jadi serta ekologi, menjadikan usaha semua pihak adalah penting untuk melindungi sumber alam.

Katanya, Malaysia komited dalam melindungi alam sekitar dan sumber alam malah telah diiktiraf sebagai negara ketiga terbaik di Asia Pasifik dan ke-25 terbaik dalam kalangan 132 negara seluruh dunia pada tahun lalu dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI).

Katanya, kedudukan Malaysia di EPI pada tahun 2010 adalah yang ke-54 dalam kalangan 163 negara seluruh dunia dan yang keenam di rantau Asia Pasifik melalui penilaian terhadap perubahan cuaca, air dan pencemaran udara.

Beliau turut memuji usaha PATA melalui program 'Next Gen' yang menggunakan teknologi generasi akan datang bagi mengatasi isu-isu pelancongan sekali gus dapat memperluaskan industri berkenaan.

''Malah kerjasama PATA dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Taylors Malaysia bagi melahirkan usahawan pelancongan merupakan persediaan penting mewujudkan tenaga kerja dalam industri ini pada masa akan datang,'' ujar beliau.

Beliau juga berharap PATA akan turut menggunakan rumusan dan cadangan persidangan dan forum pelancongan yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini bagi mengukuhkan lagi strategi pelancongan di rantau Asia Pasifik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment