My Add

Sunday 22 April 2012

AIM keluarkan pembiayaan lebih RM6.4b

JEMPOL, SABTU, 21 April, 2012: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kini mempunyai 116 cawangan di seluruh negara dengan lebih dua juta permohonan pinjaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kumulatif pembiayaan yang dikeluarkan pula berjumlah lebih RM6.4 bilion.

Katanya, pencapaian serta pengalaman AIM selama 25 tahun dalam bidang kewangan mikro perlu dijadikan panduan semua pihak bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat luar bandar.

"AIM berperanan menyalurkan modal kepada isi rumah miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah bagi menjana pendapatan," katanya ketika berucap pada program Titian Kasih AIM, di sini semalam.

Menurut beliau, walaupun kos sara hidup dijangka meningkat ditambah lagi dengan persekitaran ekonomi yang mencabar, kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Sebelum itu, ketika merasmikan kedai bahan binaan dan perkakasan Tarmizi Hj Suak Hardware Sdn. Bhd. di Batu Kikir, di sini, Mohamed Nor berkata, sejak diperkenalkan Julai tahun lepas dan setakat 31 Mac lalu, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah mengeluarkan pembiayaan kepada 92 perniagaan.

Kata beliau, ia melibatkan seramai 207 usahawan bumiputera dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan sebanyak RM17.3 juta.

Katanya, apa yang membanggakan ialah beberapa usahawan PUNB yang terlibat dalam perniagaan bahan binaan dan perkakasan terdiri daripada kaum wanita.

Bercakap pada sidang akbhbar selepas majlis berkenaan, Pengerusi PUNB, Khairy Jamaluddin berkata, perbadanan itu menyasarkan RM200 juta pembiayaan untuk usahawan kecil dan sederhana bumiputera, terutama dalam bidang seperti peruncitan, pemborong dan pembuatan, tahun ini.

Pada masa yang sama, katanya, program Prosper PUNB juga akan mencari premis perniagaan yang boleh disewakan kepada usahawan bumiputera yang dibiayai oleh perbadanan itu.

"Langkah dan matlamat ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berkualiti," katanya. = UTUSAN

No comments:

Post a Comment