My Add

Thursday 12 April 2012

Pengawal keselamatan dihukum 5 bulan penjara ugut adik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 April, 2012: Seorang pengawal keselamatan yang selalu pulang dalam keadaan mabuk, hari ini dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret kerana mengugut adiknya, lima hari lalu.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamal Mohamad Abdul Wahab, 40, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengugut dengan menggunakan sebilah pisau serta mengancam hingga mendatangkan kematian terhadap adiknya, Salmah Cheeta Abdul Ghaffar Ramujy, 35.

Mohd Azali memerintahkan Jamal Mohamad menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 April lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 31-14-10, Sri Perak, Bandar Baru Sentul, pada jam 9 malam, 7 April lalu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, abang (tertuduh) kepada pengadu (Salmah Cheeta) pulang ke rumah dalam keadaan mabuk di rumah ibunya dan naik marah selepas dimarahi ibunya dan Salmah Cheeta kerana beliau selalu pulang dalam keadaan mabuk.

Dia kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan mengugut mangsa dengan mengancam akan membunuhnya.

Jamal Mohamad tidak diwakili peguam manakala kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Safuan Alias. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment