My Add

Wednesday 11 April 2012

Penunggang motosikal rosak kereta wartawan

MELAKA, RABU, 11 April, 2012: Seorang wartawan sambilan akhbar berbahasa Cina berdepan dengan detik cemas apabila seorang penunggang motosikal bertindak menghentak cermin hadapan keretanya dengan topi kaledar selepas berlaku kemalangan kecil di sini, semalam. 

Tan Ho Hong, 22, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seri Mangga di sini selepas menghadiri satu sidang akhbar di Melaka Raya.

Beliau berkata, setibanya di persimpangan masuk ke Taman Seri Mangga, keretanya bergeser dengan sebuah motosikal dari arah sama yang dipercayai hendak ke laluan terus.

"Saya memberi isyarat untuk masuk ke kanan dan ketika saya hendak masuk ke simpang itu, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang laju dari arah belakang tidak sempat berhenti lalu bergeser dengan kereta saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Tan berkata, dia kemudian meminta maaf kepada lelaki berusia 20-an itu namun lelaki terbabit tiba-tiba berang lalu bertindak agresif dengan menendang pintu keretanya sebelum menghentak cermin hadapan sehingga retak menggunakan topi kaledar. 

Beliau yang berada di dalam kereta sepanjang insiden itu berkata lelaki tersebut hanya melarikan diri kira-kira lima minit kemudian. 

Katanya, beliau kemudian menelefon abangnya untuk memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Malim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment