My Add

Monday 16 April 2012

Polis Kelantan siap sedia hadapi pilihan raya

BACHOK, ISNIN, 16 April, 2012: Kira-kira 3,900 anggota dan pegawai polis di Kelantan sudah bersiap sedia untuk digembleng bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. 

Beliau berkata, mereka akan ditempatkan antaranya di lokasi penamaan calon dan pusat pengundian di seluruh negeri.

Sebuah helikopter akan digunakan dalam tugas memantau keselamatan pengundi terutama di kawasan pedalaman yang berbukit dan sukar dilalui kenderaan darat, katanya.

"Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya proses (pilihan raya) itu berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival derma darah di Pantai Irama di sini, hari ini. 

Mengenai perang bendera parti politik yang kini semakin hangat terutama yang dipasang di tepi jalan, beliau berkata semua ketua polis daerah diarah mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak yang cuba membuang bendera parti lawan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. 

Jalaluddin berkata, setakat ini polis menerima lima aduan mengenai perbuatan mencabut bendera parti lawan termasuk dari Jajahan Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok. 

"Kita memandang serius perbuatan seumpama itu kerana boleh mengundang perbalahan antara penyokong parti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment