My Add

Thursday 5 April 2012

Sindiket judi bola antarabangsa tumpas

KAJANG, KHAMIS, 05 April, 2012: Polis hari ini menumpaskan sindiket perjudian bola sepak antarabangsa yang dikatakan mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit, apabila menahan 148 anggota warga China dan Taiwan di kawasan Kajang Country Heights di sini. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata semua anggota sindiket itu ditahan di enam rumah mewah di kawasan itu yang menjadi markas aktiviti perjudian yang menumpukan kepada pertaruhan bagi perlawanan Euro 2012.

"Mereka yang berusia 20 dan 30 tahun ditahan pada 1.30 tengah hari dalam satu serbuan terbesar di Selangor oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Tun Hisan berkata, dalam serbuan di rumah pertama, polis menahan 31 anggota sindiket itu diikuti 42 orang di rumah kedua, 20 orang di rumah ketiga, lima orang di rumah keempat, 43 orang di rumah kelima dan tujuh di rumah keenam.

Tun Hisan berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 241 telefon yang digunakan untuk menghubungi pelanggan di luar negara, 43 komputer dan 48 modem internet untuk melakukan urus niaga perjudian. 

"Selain itu, wang tunai berjumlah RM35,883 dirampas di rumah pertama dan RM43,000 di rumah kedua," katanya. 

Katanya, siasatan awal mendapati pelanggan sindiket itu kebanyakannya adalah dari China, Portugal, Macau dan Taiwan di mana mereka membuat bayaran menggunakan kad kredit dengan pertaruhan serendah 100 mata atau bersamaan AS100 (RM306). 

Tun Hisan berkata, untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, setiap rumah berkenaan dipasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) manakala wayar telefon dipasang di ruang bawah tanah supaya tidak dapat dilihat. 

"Polis sedang mengesan sumber utama wayar itu disambungkan selain mencari pemilik rumah terbabit," katanya. 

Beliau berkata, polis percaya dalang atau warga tempatan menganggotai sindiket itu. 

"Kita menahan seorang warga tempatan iaitu penghantar makanan ke rumah terbabit," katanya. 

Siasatan mendapati setiap rumah itu disewa antara RM15,000 dan RM20,000 sebulan dan semua suspek memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment