My Add

Wednesday 4 April 2012

SPR bawah Parlimen

Oleh Norfatimah Ahmad, Shaarani Ismail dan Norakmah Mat Youb

Cadangan PSC bagi perkasa kedudukan suruhanjaya

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 April, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diletak dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen bagi memastikan isu kebebasannya tidak dipersoalkan, sekali gus memperkukuh dan memperkasakan kedudukan suruhanjaya itu. 

Saranan itu terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pengerusinya, kata Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata jawatankuasa itu menyarankan pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota SPR dilakukan seperti pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Ketika ini, penubuhan SPR dibuat mengikut Perkara 114 Perlembagaan yang dianggotai tujuh orang yang dilantik Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dengan mengambil kira pentingnya mendapat kepercayaan awam.

Selain itu, tiga fungsi utama SPR mengikut Perkara 113 Perlembagaan, iaitu menjalankan pilihan raya, menguruskan pendaftaran pemilih dan mengkaji semula bahagian pilihan raya dicadangkan supaya diasingkan kepada tiga badan bebas.

Bagi menangani beban dan bidang tugas SPR yang luas pula, suruhanjaya itu perlu distruktur semula dengan diberi kuasa sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya, mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain, menambah sumber manusia dan perjawatan sedia ada dinaikkan taraf. 

Selain itu, kerajaan disaran memperuntukkan dana dan menggubal formula sesuai bagi parti politik dan calon yang menang, masing-masing berdasarkan agihan 50 peratus untuk jumlah kerusi dimenangi dan undi yang diperoleh dalam pilihan raya. 

Peruntukan dana kepada parti politik itu antara usaha menyuburkan sistem demokrasi negara serta membendung gejala rasuah di kalangan ahli politik dalam pilihan raya. 

Namun, Maximus berkata, agihan tertakluk kepada pindaan undang-undang berkenaan dan kaedah yang akan digubal.

“Mekanisme pelaksanaannya perlu dikaji secara mendalam kerana ia membabitkan implikasi kewangan kerajaan serta pindaan kepada aspek perundangan,” katanya.

Selain itu, jawatankuasa itu juga mahu kajian terperinci mengenai keseimbangan jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat antara kerusi bagi Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Langkah itu, katanya, bagi memastikan kuasa seimbang boleh digunakan wakil Sabah dan Sarawak bagi memastikan suara dan kepentingan membabitkan kedua-dua negeri itu dalam semua hal berkaitan undang-undang dapat dipertahankan. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment