My Add

Wednesday, 4 April 2012

Tiga tahun jadi PM menarik, mencabar

NAJIB bersama pemimpin ASEAN bergambar ketika majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 di Phnom Penh, semalam. Segala perancangan, dasar dapat sokongan rakyat

Daripada Mutazar Abd Ghani di Phnom Penh

SELASA, 03 April, 2012:
Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan tempoh tiga tahun beliau menerajui pentadbiran negara sebagai menarik dan penuh mencabar susulan tsunami politik yang melanda sebelum itu. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri melahirkan penghargaan kepada semua anggota Kabinet yang memberi sokongan padu terhadap semua perancangan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan sehingga ia kini mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.

“Kita melalui perjalanan panjang dalam tempoh tiga tahun lalu. Kita bermula dalam keadaan penuh mencabar, iaitu tsunami politik, ada banyak pandangan sinis dan skeptikal tetapi selepas tiga tahun, rakyat semakin percaya dan yakin terhadap kerajaan. Rakyat percaya kerana kita boleh dan sudah mengotakan apa dijanjikan.

“Tempoh tiga tahun lalu amat menarik dan mencabar. Saya berasa dihargai kerana semua anggota Kabinet memberi sokongan padu. Saya tidak mampu melakukan sendirian, kita mengotakan janji dibuat (kepada rakyat) dan ini penting. 

“Bila berjanji, kita kotakan,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 di sini, semalam, ketika ditanya mengenai perasaan dan pencapaian beliau selepas tiga tahun menerajui pentadbiran negara.

Najib berkata, pelbagai usaha dan perancangan yang dilaksanakan kerajaan sepanjang tempoh itu sudah membuahkan hasil dengan perangkaan mikro kini dilihat begitu memberangsangkan menerusi pembabitan aktif sektor swasta. 

Katanya, ini terbukti apabila pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan rekod tertinggi selepas 10 tahun, termasuk menerima pelaburan berjumlah RM120 bilion dalam tempoh setahun, manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Pendapatan Kasar Negara (PNI) mencapai paras tertinggi.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, dalam tempoh tiga tahun berkenaan juga, kerajaan berjaya menurunkan defisit fiskal.

“Semua ini menunjukkan kita berjaya mewujudkan momentum baru sepanjang tempoh berkenaan. Program Transformasi Kerajaan (GTP) mencapai kejayaan baik dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pula melepasi sasaran.

“Kita akan terus menghadapi cabaran mendatang kerana kita sudah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh tiga tahun lalu. Insya-Allah, bagi kita (kerajaan Barisan Nasional) tempoh lima tahun lagi, kita akan sampaikan lebih banyak (kepada rakyat),” tambahnya.

Mengulas suasana politik negara dalam tempoh sama, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, kerajaan menerima cabaran daripada pembangkang yang seboleh mungkin mengeksploitasi setiap isu yang timbul. 

“Mereka (pembangkang) tidak membangkang secara membina dan mencari penyelesaian, tapi memanjangkan setiap isu sehingga pilihan raya akan datang... set minda mereka bukan nak cari penyelesaian, tapi mencipta serta memanjangkan setiap isu,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment