My Add

Friday 13 April 2012

SRJK Cina dan Tamil tidak pernah dianaktirikan - TPM

SHAH ALAM, KHAMIS, 12 April, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran tidak pernah menganaktirikan atau memberi layanan berbeza kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina atau Tamil.

"Kita tidak pernah memberi layanan berbeza hanya kerana ia sekolah Cina atau Mandarin tetapi ada persepsi pemikiran sesetengah pihak termasuk pembangkang...

“Oh, sekolah Cina kita ketepikan, sekolah Tamil kita ketepikan, sekolah kebangsaan kita utamakan,” katanya pada majlis perjumpaan beliau dengan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sempena lawatan beliau ke Selangor di bawah Program Nurani Rakyat Barisan Nasional Selangor di sini hari ini.

Sambil menyifatkan kedua-duanya merupakan sebahagian penting dalam sistem pendidikan negara, beliau berkata Kementerian Pelajaran mahukan sekolah-sekolah jenis kebangsaan mempamerkan prestasi yang baik dan banyak sekolah kedua-dua aliran ini setanding pencapaiannya dengan sekolah-sekolah kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan mengutamakan sekolah kebangsaan kerana ia adalah dasar dan sistem negara tetapi SRJK Cina dan Tamil tidak boleh diketepikan.

"Ada orang nak mengelirukan kita, dah dekat pilihan raya, kalau jadi kerajaan sekolah jenis kebangsaan akan dipertahankan kekal terus. Sekarang di bawah BN, Sekolah Kebangsaan Tamil dan Cina jadi sebahagian penting sistem pendidikan negara, tidak boleh kita pinda dan ubah. Ini kita sudah terima sebagai warisan kita,” katanya.

Muhyiddin berkata sistem sekolah aliran Cina dan Tamil di samping sistem sekolah kebangsaan merupakan satu sistem pendidikan unik yang hanya terdapat di Malaysia dan ini memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia untuk memilih aliran mana yang ingin dipelajari.

Katanya soal kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang ditimbulkan oleh pihak Dong Zong menerusi satu perhimpunan di Kajang atas dasar sudah 20 tahun sekolah-sekolah Cina diabaikan dan guru-guru tidak disediakan adalah satu pembohongan besar.

Beliau berkata para guru yang hadir pada hari ini memang mengetahui masalah kekurangan guru bukan sahaja membelenggu sekolah-sekolah Cina malah sekolah-sekolah kebangsaan terutamanya guru-guru Bahasa Inggeris.

"Bukan kementerian membiarkan masalah kekurangan guru itu berterusan kerana mengisi kekosongan jawatan-jawatan guru yang bersara mengambil masa,” katanya.

Beliau memandangkan ramai wanita menjadi guru, setiap tahun kira-kira 20,000 guru bersalin dan tempat mereka ini juga perlu diisi.

Berucap di majlis pertemuan bersama persatuan penjaja seluruh Selangor di Kompleks Belia dan Kebudayaan di sini, Muhyiddin menyenttuh cadangan pakatan pembangkang untuk menggunakan wang hasil pelaburan Petronas bagi memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) hanya akan memudaratkan syarikat minyak itu. 

Katanya, walaupun Petronas adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan kerajaan, sebahagian besar daripada subsidi negara disumbangkan oleh syarikat minyak itu bagi meringankan beban rakyat.

"Kalau nak hapuskan PTPTN, perah habis-habisan Petronas dan akhirnya Petronas nak jadi apa. Jangan orang kata kita membunuh angsa emas kerana nak dapatkan telur emas.

"Itu (sebenarnya) adalah cara pakatan rakyat nak buat, orang yang tak pandai kira, congak dan boleh hancurkan negara ini," kaanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment