My Add

Saturday, 7 April 2012

Tengku Abdullah tawar diri tamatkan 'keretakan' dalam FAM

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 April, 2012: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menawarkan diri sebagai pengantara bagi menamatkan 'keretakan' di antara badan induk bola sepak negara itu dengan Tan Sri Annuar Musa.

Menurut baginda, semua pihak harus mengakui sumbangan dan usaha yang dilakukan oleh Annuar dalam memajukan bola sepak tanah air khususnya di Kelantan.

"Kita perlu mengkaji adakah keputusan ini akan merosakkan kerja baik yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar demi membangunkan bola sepak di Kelantan dan adakah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengalami kesan buruk daripadanya.

"Adalah menjadi harapan saya bahawa kita boleh memberi tumpuan kepada faktor-faktor mitigasi yang wujud bagi menyelesaikan perkara ini secara damai demi kebaikan bola sepak Malaysia," baginda bertitah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 4 April lalu, Jawatankuasa Disiplin FAM menjatuhkan hukuman penggantungan selama 30 bulan ke atas Annuar, yang juga Presiden KAFA daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri kerana mendapati beliau bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM, pada 12 Februari lalu.

Mengikut peraturan FAM itu, hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya saja yang dibolehkan memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Annuar adalah Timbalan Presiden FAM.

Tengku Abdullah yang kesal dengan keputusan yang dikenakan oleh jawatankuasa tersebut ke atas Annuar disebabkan berada di luar negara ketika itu, bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa jawatankuasa berkenaan telah menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka sebaik mungkin.

"Saya sesungguhnya mempercayai bahawa proses undang-undang yang sewajarnya sudah dipatuhi," titah baginda.

Tengku Abdullah menjelaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan baginda pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu bukanlah satu arahan sebaliknya lebih bersifat nasihat kepada semua pegawai FAM untuk mematuhi perlembagaan badan induk bola sepak negara itu.

Hasil mesyuarat itu telah memutuskan bahawa hal-hal FAM tidak boleh disebarkan kepada media dan perlu dibawa berbincang di dalam jawatankuasa eksekutif FAM terlebih dulu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment