My Add

Thursday, 5 April 2012

Tiga rakyat Malaysia menang Anugerah Manga Antarabangsa

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 April, 2012: Tiga kartunis Malaysia adalah antara pemenang Anugerah Manga Antarabangsa kali kelima -- satu anugerah untuk menghargai artis Manga yang mempromosi kartun di luar Jepun.

Duta Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura berkata Malaysia menghantar 21 penyertaan untuk anugerah itu tahun lepas. Sebanyak 145 penyertaan dari 30 negara diterima dan Malaysia merupakan negara kedua tertinggi yang menghantar penyertaan. 

"Saya sangat gembira melihat ramai kartunis Malaysia mengambil bahagian dalam Anugerah Manga Antarabangsa ini," katanya pada majlis penyampaian hadiah itu di kediamannya di sini, hari ini. 

Kesemua tiga kartunis itu menerima hadiah Anugerah Gangsa daripada Jawatankuasa Anugerah Manga Antarabangsa yang dipengerusikan Menteri Luar Jepun Koichiro Gemba.

Nakamura berharap anugerah itu akan menggalakkan pemenang untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa depan.

Sementara itu, Chong Chiew Choy yang memenangi anugerah itu berkata idea untuk melukis kartun bertajuk "A Letter to Father" adalah hasil imaginasinya yang diterjemahkan melalui lukisan. 

"Saya mula berminat dengan Manga sejak berumur enam tahun. Saya terkejut apabila memenangi pertandingan ini, saya tidak mendapat galakan daripada sesiapa pun, semuanya datang dari hati saya sendiri," kata jurutera mekanikal yang berusia 37 tahun itu. 

Bagi Chang Lee Ying, 26, yang memenangi anugerah itu untuk kali kedua, minat terhadap komik menjadikan beliau lebih serius menghasilkan komik bertajuk "Ice Cream Baby" dan menyertai pertandingan itu. 

"Ini kali kedua saya menyertai pertandingan ini. Saya gembira kerana sekali lagi saya menang. Saya akan terus melukis," kata kartunis itu yang mula melukis selepas tamat sekolah menengah. 

Seorang lagi pemenang ialah Tan Zien Yun dengan hasil karyanya bertajuk "X-Venture: Terror Raptor". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment