My Add

Friday 20 April 2012

TPM: Penerima biasiswa perlu berbakti


*ANTARA pelajar paling cemerlang (SPM) (depan dari kiri) Syazana Mohd Yazid, Saw Ran Sing, Naresh Salvaraj, Jacqueline Liaw Jing Ting dan Julia Neo Abdullah gembira selepas menerima Surat Tawaran Biasiswa Nasional daripada Muhyiddin Yassin di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kuala Lumpur, semalam.

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 April, 2012: - Pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menerima tajaan kerajaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi khususnya di luar negara dinasihatkan supaya mengambil peluang itu untuk menyerlahkan potensi diri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga diseru kembali mencurahkan khidmat bakti apabila tamat pengajian nanti dan bertanggungjawab mencorakkan masa depan negara melalui ilmu pengetahuan yang tinggi, jati diri yang kukuh serta akhlak mulia.

‘‘Kadangkala, potensi seseorang itu akan dapat diserlahkan apabila mereka diberi peluang. Dengan adanya peluang itu, tidak mustahil generasi pelajar yang kita taja pada hari ini akan mencapai kejayaan yang mungkin kita sendiri tidak mampu capai pada ketika ini.

‘‘Besarlah harapan saya semoga pelajar yang menerima biasiswa ini akan mengambil peluang keemasan untuk menyerlahkan potensi diri dengan sepenuhnya demi kejayaan diri, keluarga dan negara dalam mengharungi persekitaran global yang semakin kompetitif dan mencabar.

‘‘Saya ingin berpesan kepada para pelajar sekalian bahawa masa depan negara terletak di bahu mereka. Oleh itu, gunakanlah peluang itu untuk belajar bersungguh-sungguh dan apabila tamat pengajian nanti curahkanlah khidmat bakti kepada negara,’’ katanya pada majlis penyampaian surat tawaran Biasiswa Nasional 2012 kepada 50 pelajar yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran dalam SPM 2011 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan sedar pembangunan modal insan yang berkualiti adalah pemangkin kepada hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju tercapai.

Oleh itu, ujarnya, pelbagai program penajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk program Biasiswa Nasional dilaksanakan bagi memastikan negara memiliki modal insan berdaya saing sekali gus berupaya memenuhi keperluan guna tenaga negara.

Katanya, sebagai contoh di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), pembangunan modal insan merupakan bidang utama yang dititikberat dan kerajaan melalui JPA telah memperuntuk RM2.12 bilion pada tahun ini untuk membiayai kira-kira 12,000 orang pelajar cemerlang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di dalam mahupun di luar negara.

‘‘Malah, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang memperuntuk sebegitu besar penajaan kepada pelajar menyambung pengajian. Program penajaan JPA adalah untuk memenuhi keperluan strategik sektor awam dan negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengumumkan dua inisiatif utama pada tahun lalu untuk memberikan peluang kepada pemegang biasiswa JPA memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan negara,’’ jelasnya.

Ujar beliau, dua inisiatif itu ialah Akselerasi Bakat di dalam Perkhidmatan Awam (TAPS) dan Penarikan dan Pengekalan Bakat (STAR) yang dirangka untuk menyediakan peluang-peluang menarik kepada pelajar tajaan JPA memajukan kerjaya masing-masing menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) apabila menamatkan pengajian.

``Menerusi TAPS, pelajar tajaan yang cemerlang akan dipilih bagi mengendalikan isu-isu dasar awam dan projek keutamaan tinggi manakala STAR diperkenalkan untuk memberi peluang kepada pelajar tajaan JPA memindahkan kontrak berkhidmat dengan kerajaan kepada syarikat tempatan yang menyokong ETP,’’ kata Muhyiddin sambil mengucapkan tahniah kepada 50 pelajar yang ditawarkan Biasiswa Nasional tahun ini yang menyaksikan pertambahan berbanding 30 orang penerima pada 2010.m- UTUSAN

No comments:

Post a Comment