My Add

Friday 20 April 2012

ASEAN perlu kongsi kepakaran perangi keganasan: Muhyiddin

*MUHYIDDIN Yassin mencuba peralatan pelancar roket sambil diperhatikan oleh Ahmad Zahid Hamidi (kanan) pada majlis penutup Forum Putrajaya sempena Pameran Perkhidmatan Asia 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 April, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa negara-negara ASEAN supaya bersama-sama berkongsi kepakaran teknikal dan maklumat dalam usaha memerangi keganasan di rantau ini.

Beliau berkata, kerjasama untuk menghapuskan rangkaian keganasan di peringkat akar umbi di rantau ini perlu dipertingkat melalui mekanisme dan langkah-langkah pencegahan lebih berkesan.

"Kita di ASEAN harus sedar bahawa realiti keganasan bukan lagi ancaman yang terhad kepada sesebuah negara atau rantau tertentu sahaja.

"Setiap anggota dan rakan dialog perlu bertindak untuk mengukuhkan kerjasama dalam undang-undang luar wilayah, berkongsi kepakaran teknikal dan bertindak bersama-sama secara kolektif," katanya pada penutupan Forum Putrajaya (Mindef) 2012 yang diadakan sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Hadir sama pada forum bertemakan 'Meningkatkan Multilateralisme Untuk Pertahanan dan Keselamatan Serantau' itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Muhyiddin berkata, kerjasama yang dibentuk antara negara itu mampu mewujudkan pakatan yang bertindak sebagai sebuah forum serantau untuk menghasilkan tindakan lebih pantas dan berkesan terhadap sebarang bentuk ancaman.

"Forum serantau itu juga memainkan peranan penting melalui kerjasama politik, ekonomi, diplomatik dan undang-undang dalam semangat sebenar keselamatan serantau dan kerjasama pertahanan,'' katanya.

Beliau berkata, selain ancaman keganasan, ASEAN juga berdepan dengan pelbagai isu yang boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk rantau ini.

"Pendatang asing tanpa izin, penyeludupan manusia, pengedaran dadah dan cetak rompak memberi kesan buruk kepada sebuah negara yang berdaulat," katanya.

Kata beliau, kemunculan ancaman keselamatan baharu itu jika tidak dikawal bukan sahaja akan menjejaskan kestabilan di rantau ini bahkan mampu membantutkan proses mewujudkan ASEAN yang makmur dan damai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment