My Add

Friday 6 April 2012

Tukang kasut cedera terkena tembakan ketika cari ikan

BALING, UMAA, 06 April, 2012: Seorang tukang kasut tercedera pada bahu selepas terkena tembakan ketika mencari ikan di sebatang sungai dalam hutan simpan Hulu Muda, Air Mas, Lasau, dalam daerah Baling, semalam. 

Md Isa Yaakob, 45, dari Kampung Carok Bunting, Mukim Siong di sini yang sering ke kawasan itu untuk mencari ikan tengas, dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan rakannya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Mohd Daud Md Hasan, berkata seorang rakan Md Isa yang bersama beliau mencari ikan ketika itu, pulang dan membuat laporan polis jam 1.30 pagi semalam.

"Operasi menyelamat oleh sepasukan 10 anggota polis digerakkan jam 3 pagi selepas laporan itu dibuat dan kita menjangka mengambil masa 14 jam untuk sampai ke tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mohd Daud berkata, hutan tebal menyukarkan usaha membawa keluar Md Isa dan khidmat helikopter mungkin diperlukan supaya tukang kasut itu dapat terus dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, untuk diberi rawatan. 

Katanya, maklumat lengkap kejadian itu belum diperoleh. 

Operasi itu dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam, RELA, Bomba dan penduduk kampung.

Ketua Operasi JPAM Daerah Baling, Mohd Ridduan Safin, berkata pasukan penyelamat terpaksa berjalan ke tempat kejadian kerana kenderaan termasuk jenis pacuan empat roda tidak boleh digunakan kerana laluannya sukar. 

Isteri Md Isa, Faridah Yaakob, 39, yang ditemui di rumahnya, melahirkan syukur kerana suaminya terselamat dalam kejadian itu walaupun beliau tercedera. 

"Suami saya ke hutan Sabtu lalu bersama rakannya untuk mencari ikan tengas yang akan dibuat pekasam untuk dijual bagi menambah pendapatan kami. Tak sangka pula kejadian ini akan berlaku," katanya. 

Md Isa dan Faridah mempunyai tiga anak Mohd Amirul Amin, 11, Mohd Amirul Faiz, 9 tahun, dan Siti Atikah Aishah, 7 bulan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment