My Add

Wednesday 11 April 2012

UTM tubuh Akademi Ekuin, pengambilan pelajar tahun depan

JOHOR BAHRU, RABU, 11 April, 2012: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menubuhkan Akademi Ekuin bagi menawarkan pengajian dalam bidang sains sukan berkuda di negara ini dengan pengambilan 20 penuntut pertama pada tahun depan. 

UTM mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan Kolej Hartpury, England dan Northern Melbourne Institute of TAFE (NMIT), Australia bagi tujuan berkenaan, kata Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang.

Beliau berkata, kolej berkenaan bersedia membantu UTM menawarkan kursus di peringkat sarjana muda dalam bidang Sains Ekuin dan Pengurusan Ekuin.

"Langkah menubuhkan Akademi Ekuin selaras dengan saranan Majlis Ekuin Malaysia yang meminta UTM menyediakan program pengajian dan penyelidikan berkaitan dengan kuda dan ekuestrian untuk ditawarkan kepada umum. 

"Memandangkan terdapat pelbagai kemudahan dan prasarana dalam bidang berkenaan di Pusat Ekuin di kampus Johor Baharu, UTM berminat dengan saranan terbabit," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kolej Hartpury dan NMIT di sini hari ini. 

Zaini mewakili UTM, manakala Kolej Hartpury diwakili pengetuanya, Malcom Wharton dan NMIT diwakili ahli lembaga pengarahnya, Chris Watson. 

Zaini berkata, kerjasama dengan Kolej Hartpury yang terletak di bawah kendalian Universiti of West England dapat membantu membangunkan Akademi Ekuin UTM. 

"Antara program yang dikenal pasti ialah pengurusan ekuin, kelakuan dan kebajikan haiwan, pemakanan, prestasi kuda dan penunggang selain fisiologi dan terapi kuda," katanya. 

UTM juga akan mengadakan program pertukaran penuntut dan kakitangan serta menjalankan penyelidikan berkaitan prestasi kuda dan bagaimana haiwan itu boleh menyesuaikan diri dengan cuaca panas di negara ini. - BERNAMA 

1 comment: