My Add

Friday 27 July 2012

1,192 profesional tempatan pulang ke tanah air

PUTRAJAYA, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Seramai 1,192 rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara telah diluluskan permohonan untuk pulang ke tanah air menerusi Program Membawa Balik Pakar (REP) sepanjang tahun lepas dan enam bulan pertama tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, daripada jumlah itu sebanyak 680 permohonan diluluskan sepanjang tahun lepas.

Katanya, jumlah itu melebihi bilangan REP yang diluluskan sepanjang tempoh 10 tahun sejak diperkenalkan mulai 2001.

“Pada separuh tahun ini sahaja sebanyak 512 permohonan REP diluluskan dan yang lebih menggembirakan apabila ada antara profesional itu dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurus kanan untuk sesebuah syarikat.

“Berbanding sebelum Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp) diwujudkan iaitu awal tahun lalu kita hanya berjaya membawa pulang seramai 1,130 profesional," katanya pada sidang akhbar mengenai program REP di sini hari ini.

Turut hadir CEO TalentCorp, Johan Mahmood Merican.

Menurut Nor Yakcop, peningkatan profesional tempatan untuk pulang berkhidmat di tanah air disebabkan faktor keyakinan dan peluang menarik yang ditawarkan oleh kerajaan terutamanya dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Selain itu, katanya, kewujudan banyak syarikat tempatan yang berstatus multinasional juga menjadi faktor pendorong profesional tempatan pulang.

“Bagaimanapun masih terdapat profesional tempatan yang membangkitkan beberapa isu jika pulang ke tanah air antaranya berkaitan gaji, pendidikan kepada anak-anak mereka dan waktu bekerja yang berbeza antara di Malaysia dan negara luar.

“Namun, isu gaji misalnya kita juga mampu membayar gaji yang munasabah walau tidak sama dengan negara luar tetapi masih boleh menikmati hidup dengan selesa.

‘‘Manakala, isu pendidikan pula adakah anak-anak mereka akan mendapat pendidikan yang sempurna dan baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment