My Add

Friday 20 July 2012

Abdullah kecewa guna nama, gambarnya di himpunan Oren

KEPALA BATAS, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan tindakan kumpulan yang mengadakan perhimpunan 'Oren' kerana menggunakan gambar beliau pada poster perhimpunan berkenaan. 

Abdullah berkata, tindakan kumpulan itu menjatuhkan dan memburukkan imejnya sebagai bekas Perdana Menteri. "Saya rasa tidak seronok langsung bila mereka (penganjur perhimpunan oren) guna nama dan gambar saya dalam poster, sedangkan saya tiada kaitan langsung dengan perhimpunan itu. 

"Sepatutnya mereka tidak boleh buat macam itu dan jangan ambil kesempatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini, hari ini. 

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kumpulan tertentu yang menggunakan gambar beliau dan tokoh veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, pada poster Himpunan Oren. 

Himpunan Oren anjuran Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (Anak) yang disertai 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai tanda bantahan terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia. 

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau tidak pernah menentang penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia. 

"Saya sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia adalah sesuatu yang bagus," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment