My Add

Saturday, 14 July 2012

‘Bercerai-berai kerana dasar Pas tapi UMNO satukan Melayu’

Mukadimah

BERITA guru al-Quran, Che Hasnah Che Ahmad, 61, diceraikan suaminya, Yahaya Ibrahim, 78, dikatakan akibat perbezaan politik menggemparkan banyak pihak.

Che Hasnah, guru agama di Kampung Chabang Tiga, Chetok, Pasir Mas, diceraikan suami dengan talak satu di Mahkamah Majistret Pasir Mas Rabu lalu kerana dianggap sesat disebabkan tidak menyokong Pas.

Yahaya kemudian menafikan menceraikan isterinya itu disebabkan perbezaan politik sebaliknya mendakwa Che Hasnah sesat akibat tidak mengamalkan ajaran Islam, malah bersedia rujuk kembali sekiranya Che Hasnah kembali kepada ajaran Islam.

Dakwaan Yahaya itu disanggah Che Hasnah yang turut menolak kesediaan suaminya untuk rujuk kembali.

Ikuti penjelasan Che Hasnah kepada wartawan Utusan Malaysia, YULPISMAN ASLI dan jurugambar ROSNI MASRI di rumahnya semalam mengenai kemelut yang berlaku dan kesediaannya untuk hidup bersendirian selepas ini tanpa suami.
Yahya dan isterinya Che Hasnah.
 Yahya dan bekas isterinya Che Hasnah.
UTUSAN: Boleh beritahu apa sebenarnya yang berlaku?

CHE HASNAH: Bekas suami kuat (taksub) kepada parti Pas. Saya ini asal-asal lagi Barisan Nasional (BN), dia asal Pas. Tetapi jodoh dengan dia, tak mengapa. Selama kenal tak ada apa-apa, kalau dia cakap pasal parti Pas saya senyap, begitu sebaliknya.

Tetapi akhir-akhir ini, dia mungkin dihasut rakan-rakannya dalam Pas. Dua, tiga hari sebelum bercerai dia nampak lain, selepas itu, dia kata awak nak ikut parti saya tak? Kalau tak nak ikut, saya tinggalkan awak. Saya beritahu saya ahli UMNO.

Dia kata tak apalah, dia pun balik ke rumah anaknya. Barang-barangnya di rumah ini pun diminta supaya cucunya datang ambil.

Sebelum ini, saya hadir ke program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dia tidak kisah. Dia tidak marah, senyap sahaja. Tetapi akhir-akhir ini berbeza.

Kenapa tidak ikut permintaan bekas suami supaya sertai Pas?

Saya tak mahu sebab Pas banyak kerenah. Tengok, apa yang Pas buat untuk bantu orang Melayu, tetapi Pas tolong orang Cina. Sekarang di Kelantan, orang Cina yang banyak Pas bantu. Sekarang Nik Aziz (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) banyak beri tanah kepada orang Cina. Sekarang Pas pentingkan orang Cina, tidak pentingkan orang Melayu lebih-lebih lagi orang UMNO.

Bukankah Pas dakwa perjuangkan Islam?

Itu Pas kata, tetapi sebenarnya tidak begitu. Tengok apa yang terjadi, bercerai-berai kerana dasar Pas, kalau dasar UMNO tidak begitu. UMNO satukan orang Melayu dan Islam. Kita pun tahu juga, sebab kita tengok berita di televisyen, tetapi bekas suami tidak tengok berita di televisyen dan surat khabar, yang dia baca hanya Harakah.

Selama 14 tahun kami boleh bersama, tak berbalah, tetapi hanya kebelakangan ini sejak kerap pergi dengar ceramah Pas termasuk di Pejabat Penerangan Pas Kelantan. Mungkin waktu itu dia kena hasut.

Awal perkahwinan dahulu tak ada masalah?

Tak ada masalah, dia baik sangat. Tetapi sekarang sebab parti kami bercerai-berai. Masa mula ambil borang cerai, mahkamah tanya sebab mahu bercerai, dia kata kami tak sehaluan. Semasa depan hakim, dia kata mahu bercerai dan saya pula setuju. Dia pun lafaz cerai.

Bagaimana perasaan ketika itu?

Tidak rasa apa-apa. Dia selalu anggap parti dia lebih Islam dan menjamin syurga. Tetapi pada saya tidak. Kalau amalan baik, parti mana-mana pun Tuhan akan tilik hati kita, kalau baik bolehlah masuk syurga itu pun dengan rahmat Allah.

Sepanjang 14 tahun, macam mana pegangan bekas suami terhadap partinya?

Kuat, kalau sembahyang orang BN dia tak ikut. Sebelum nikah, orang BN meninggal dunia dia tak pergi, lepas bernikah saya kata tak boleh, sekampung kena pergi.

Kalau pergi ke program UMNO, bekas suami ada ikut sama?

Dia tak pergi, tetapi dia tak larang saya hadir program itu.

Macam mana boleh timbul mahu bercerai?

Cerai kerana saya tak ikut parti dia, mungkin kerana dia kena hasut.

Bekas suami kata sedia rujuk semula dengan bersyarat?

Saya tak mahu rujuk, elok seorang sahaja sekarang. Dia hendak beri syarat supaya saya ikut parti dia, saya tak mahu. Saya tak mahu masalah berulang lagi. UMNO pejuang Islam sebenar, yang tolong dan bela orang Melayu.

Bekas suami selalu ke ceramah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Ya, sebab itulah jadi macam itu, tak tahu apa yang Nik Abdul Aziz beritahu.

Apa perancangan selepas ini?

Tak ada apa, mengajar al-Quran sahaja, mula pukul 3 petang, berhenti solat Asar dan sambung lagi sampai pukul 7 petang.

Sedih dengan apa yang berlaku?

Sedih kerana ia berlaku disebabkan parti. Masalah ini berlaku bukan kerana apa, tetapi kerana parti. Dasar Islam apa dalam Pas, saya pun tak tahu. Masalah ini tidak akan berlaku dalam UMNO kerana UMNO satukan orang Melayu. Saya terkilan kerana dia tak sedar-sedar dan tetap menganggap hanya partinya yang Islam.

No comments:

Post a Comment