My Add

Saturday 14 July 2012

Hishammuddin sangkal dakwaan jenayah meningkat.

KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 13 Julai, 201: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menafikan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa kadar jenayah di negara ketika ini meningkat.

Kata beliau, pihaknya tidak pernah menyembunyikan sebarang fakta berkaitan kadar jenayah kepada masyarakat umum sebaliknya cuba mencari jalan penyelesaian terbaik bagi terus menurunkan kadar itu.

"Kita tidak pernah sorok dan saya rasa beliau sebagai seorang yang telah terlibat dalam usaha kita untuk melakukan transformasi ke arah itu, seharusnya tahu apa yang kita lakukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Stadium Tertutup Gong Badak, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara itu yang dibuat menerusi temu bual bersama sebuah portal semalam.

Musa dilaporkan meminta pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai kerana rakyat perlu mengetahui perkara sebenar dan mencadangkan kerajaan melantik pihak ketiga seperti universiti memberikan data seperti statistik jenayah kerana lebih bebas.

Sementara itu, ketika ditanya adakah wajar Musa campur tangan dalam urusan Kementerian Dalam Negeri bersabit perkara itu, Hishammuddin berkata, Musa perlu tampil membantu memberikan idea dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

"Ia terpulang kerana semua ada pandangan masing-masing. Mereka yang pernah pegang tampuk kepimpinan terdahulu bertanggungjawab kerana mereka telah memegang amanah itu sebelum ini.

"Apa jua yang mereka kata positif, kita boleh terima tetapi sekiranya ada perkara-perkara yang menjejaskan dan menidakkan kejayaan yang kita lakukan selAma ini, sila tampil bersama-sama kerana kita terbuka menerimanya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment