My Add

Saturday 28 July 2012

Beri lebih peluang kepada kontraktor tempatan: DPMM Perlis

KANGAR, SABTU, 28 Julai, 2012: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perlis berharap kontraktor tempatan diberi lebih peluang untuk melaksanakan projek pembangunan kerajaan termasuk infrastruktur sukan di negeri ini. 

Yang Dipertuanya, Datuk Fauzi Hassan, berkata menjelang Sukan Malaysia 2014, banyak infrastruktur baru perlu dibangunkan dan kontraktor tempatan bersedia melaksanakannya. 

“Pemilihan Perlis sebagai tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu memberi harapan kepada kontraktor pelbagai kelas di negeri ini untuk memperoleh projek pembangunan infrastruktur sukan,” katanya selepas majlis berbuka puasa DPPM Perlis bersama ibu tunggal dan anak yatim di sini malam tadi. 

Beliau berkata, ketika ini banyak projek besar di Perlis ditawarkan kepada kontraktor dari negeri lain. 

Fauzi berkata, beliau turut menerima rungutan kontraktor mengenai cabaran serta saingan untuk mendapatkan projek di negeri ini. 

“Dalam kes terbaru, satu kementerian mengiklankan semula tender yang pernah ditawarkan kepada kontraktor di Perlis dengan turut membuka tawaran kepada kontraktor dari negeri lain. 

“Keadaan itu merugikan kontraktor yang terpaksa menanggung kos berganda kerana perlu dua kali mengemukakan dokumen tender,” katanya. 

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang turut hadir pada majlis itu, berkata kontraktor dan usahawan tempatan perlu sentiasa kreatif memanfaatkan peluang yang ada di negeri ini. 

“Peluang sentiasa terbuka luas dalam perniagaan dan kontraktor perlu tahu menilainya,” katanya. 

Pada majlis itu, Md Isa turut menyampaikan sumbangan DPMM Perlis kepada lebih 180 penerima terdiri daripada ibu tunggal dan anak yatim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment