My Add

Wednesday 25 July 2012

Berjaya Books mohon tangguh tindakan lanjut oleh Jawi

 Kulit buku Irshad Manji
KUALA LUMPUR, RABU, 25 Julai, 2012; Berjaya Books Sdn Bhd memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya menangguhkan tindakan lanjut oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung rampasan buku tulisan penulis kontroversi, Irshad Manji, di premisnya di Mid-Valley di sini, Mei lalu.

Berjaya Books merupakan pemilik rangkaian kedai buku Borders di Malaysia.

Hakim Datuk Rohana Yusuf akan mendengar permohonan oleh pengurus besar operasi dan pembarangan syarikat berkenaan, Stephen Fung Wye Keong dan pengurus stor di kedai Borders Mid-Valley, Nik Rainan Nik Abdul Aziz, Isnin ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan tarikh tersebut dalam kamar semasa pengurusan kes itu disebut hari ini.

Peguam Berjaya Books, Ang Hean Leng, memberitahu pemberita pemohon menuntut penangguhan sebarang tindakan oleh Jawi termasuk memeriksa dan merampas buku berkenaan, menyiasat pekerja Borders serta semua prosiding susulan daripada tindakan Jawi itu sehingga penyelesaian permohonan semakan kehakiman.

Beliau berkata permohona penangguhan adalah untuk mengekalkan status quo supaya tiada tindakan diambil terdapat anak guamnya sehingga selesai semakan kehakiman.

Pada 19 Jun lalu, Nik Raina didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah kerana menjual buku tulisan Irshad bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan dengan iman) yang merupakan terjemahan daripada buku asal 'Allah, Liberty and Love' (The Courage to Reconcile Faith and Freedom) yang bertentangan dengan hukum syarak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 8.41 dan 9.45 malam, 23 Mei lalu di kedai buku Borders, Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra di sini.

Pada 25 Jun lalu, Berjaya Books dan dua pekerjanya telah mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memohon semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Jawi merampas buku tersebut.

Mahkamah akan mendengar merit semakan kehakiman itu pada 13 Sept ini.

Pada permohonan menuntut kebenaran, ketiga-tiga mereka memohon antara lain, perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan pegawai Jawi menyerbu, memeriksa dan merampas buku tersebut dipremisnya.

Mereka juga memohon perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan mendakwa Nik Raina di Mahkamah Tinggi Syariah kerana mengedar buku berkenaan.

Sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah yang pada mula ditetapkan pada 13 Sept ini telah diawalkan kepada 7 Ogos ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment