My Add

Tuesday 3 July 2012

BN Pulau Pinang kesal kenyataan PM diputar belit

GEORGETOWN, SELASA, 03 Julai, 2012:: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini membidas tindakan pemimpin kerajaan negeri yang memutar belit kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai cadangan pelabuhan bebas di negeri itu. 

Ketua Penerangan BN negeri, Tan Cheng Liang, berkata ahli EXCO kerajaan negeri yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow, dalam kenyataan akhbarnya semalam, mengelirukan rakyat dengan menyembunyikan fakta sebenar kenyataan perdana menteri.

 Chow dipetik sebagai berkata perdana menteri dalam jawapan bertulisnya di Parlimen mengatakan status Pulau Pinang sebagai pelabuhan bebas tidak lagi wujud selepas pulau itu dimasukkan ke dalam Kawasan Utama Kastam. 

"Sebenarnya perdana menteri dalam kenyataan penuhnya berkata Kerajaan Pusat bersedia mempertimbang cadangan BN mewujudkan pelabuhan bebas bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan adanya sokongan daripada rakyat Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Tan menyifatkan tindakan pemimpin kerajaan negeri yang hanya menyiarkan jawapan yang memihak kepada mereka sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak telus. 

"Tindakan Chow yang memutarbelitkan kenyataan perdana menteri itu jelas menunjukkan kebimbangan negeri pimpinan pakatan pembangkang terhadap keupayaan BN dalam melaksanakan cadangannya," katanya. 

Khamis lalu, BN negeri melancarkan kempen mengutip tandatangan rakyat Pulau Pinang selama sebulan sebagai petisyen menyuarakan kehendak rakyat yang mahukan Pulau Pinang menjadi negeri pelabuhan bebas. 

Tan berkata, BN negeri yakin petisyen itu akan mendapat pertimbangan positif rakyat Pulau Pinang dan parti itu menyasar mengumpul tandatangan 1.5 juta penduduk. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment