My Add

Tuesday 3 July 2012

Polis cari wanita bantu siasatan kes tembak konstabel

JOHOR BAHRU, SELASA, 03 Julai, 2012: Polis sedang mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian tembakan ke atas seorang anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya di luar sebuah kafe di Nusa Bestari, di sini, dua hari lalu. 

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim, berkata wanita berumur 20an berkenaan yang kini menghilangkan diri dipercayai turut berada di tempat kejadian bersama-sama empat lelaki yang kini sudah direman polis bagi membantu siasatan. 

"Kejadian tembak dipercayai berlaku ketika anggota polis itu, Konstabel Snilus Lembik, baru selesai menamatkan tugas dan sedang menonton perlawanan akhir kejohanan Euro 20102 bersama dua lagi rakannya. 

"Snilus yang berpakaian preman cuba mententeramkam keadaaan apabila keempat-empat lelaki berkenaan membuat kacau akibat mabuk sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan suspek merampas pistol dan melepaskan empat das tembakan ke arahnya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini. 

Ismail berkata, keempat-empat lelaki berumur 18 hingga 24 tahun itu kemudian melarikan diri bersama pistol yang dirampas. Bagaimanapun, polis dapat menahan mereka tidak jauh dari tempat kejadian, kira-kira 15 minit kemudian. 

Beliau berkata, polis sedang menyiasat rekod keempat-keempat lelaki berkenaan dan mereka kini direman sehingga Ahad ini. 

Katanya, Snilus, 24, yang berasal dari Salim, Sibu, Sarawak, kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, di sini dan dilaporkan stabil. 
Sementara itu, Ismail berkata kejadian yang menimpa personaliti Singapura, Rita Zahara Mohd Nazeer, dan keluarganya disiasat sebagai pemerasan dan samun dan bukannya sebagai culik. 

"Tidak timbul soal culik kerana wang tebusan tidak dituntut dan polis kini sedang menggiatkan usaha mengesan kereta Nissan Sunny berwarna putih yang bernombor pendaftaran Singapura milik wanita itu selain memburu suspek yang terbabit berdasarkan beberapa petunjuk," katanya. 

Dalam kejadian kira-kira 12.40 pagi, Ahad lalu, dipercayai dua lelaki melarikan kereta Nissan Sunny berkenaan ketika Rita Zahara, 37, memberhentikan kenderaannya itu untuk membeli buah di deretan gerai buah-buahan, kira-kira 30 meter dari kenderaan terbabit. 

Mereka yang berada di dalam kereta itu adalah adik perempuannya, dua anak dan pembantu rumah dengan semua mereka ditinggalkan di Ulu Tiram, kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian sebelum penjenayah terbabit melarikan kenderaan tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment