My Add

Tuesday 3 July 2012

Bomba akan tubuh unit udara di Sabah, Sarawak

MARANG, SELASA, 03 Julai, 2012: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menubuhkan unit udaranya di Sabah dan Sarawak secepat mungkin bagi melancarkan operasi menyelamat terutama di kawasan pedalaman memandangkan terdapat kekangan untuk saluran bantuan darat tiba ke destinasi dengan segera. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, kedua-dua negeri itu amat memerlukan perkhidmatan udara kerana kawasan hutannya yang bergunung-ganang dan luas serta sukar dilalui melalui jalan darat ataupun bot. 

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam perancangan kerana pihaknya mempunyai sedikit halangan untuk mencari tapak dan lokasi yang sesuai untuk pembinaan dan meletakkan helikopter. 

"Dengan wujudnya unit udara di Sabah dan Sarawak, ianya akan melancarkan operasi menyelamat serta mengawal kebakaran serta memudahkan pergerakan anggota bomba penyelamat terutamanya di kawasan terpencil. 

"Masyarakat di sana sering kali meminta pihak bomba meningkatkan perkhidmatan dan kita akui ia memang satu keperluan berdasarkan logistik yang luas, jarak yang jauh dari satu tempat ke satu tempat dan ianya kadang-kadang menyebabkan kesukaran pihakya bertindak," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian pingat jabatan dan anugerah perkhidmatan cemerlang JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat, Wakaf Tapai hari ini. 

Menurut Wan Mohd Nor, jika berlaku kebakaran hutan di daerah pedalaman dua negeri itu, pihaknya terpaksa meminta bantuan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menghantar anggotanya mengawal kebakaran. 

"Kita terpaksa meminta bantuan TUDM kerana kami tidak mempuyai perkhidmatan udara dan jika TUDM mempuyai tugas lain, pihak kami terpaksa mencari alternatif lain," katanya. 

Setakat ini, dua negeri sudah mempunyai unit udara iaitu di Subang Jaya, Selangor dan Bertam, Pulau Pinang di mana ia dilengkapi dengan sebuah helikopter dan berperanan mengawal kebakaran terbuka yang berlaku. 

"Kita juga berhasrat untuk menubuhkan tambahan unit udara di Terengganu dan Johor untuk jangka masa panjang," katanya. 

Sementara itu, Wan Mohd Nor berkata, JBPM mensasarkan tempoh tujuh minit untuk bertindak menghadapi sebarang kejadian kecemasan mahupun bencana yang berlaku. 

Katanya, kemampuan JBPM untuk mengurangkan jangka masa respons terhadap sebarang kejadian turut akan meminimumkan kerosakan harta benda termasuk risiko kecederaan mahupun kematian terhadap mangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment