KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 Julai, 2012: Tindakan pakatan pembangkang yang sering memburuk-burukkan usaha kerajaan membantu rakyat jelas menunjukkan sifat terdesak mereka demi meraih sokongan politik.
Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata, dalam keadaan rakyat semakin bijak menilai dan menjiwai perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) melalui gagasan 1Malaysia, pembangkang terpaksa berbuat sesuatu termasuk menghalang usaha-usaha baik kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat.
Hakikatnya beliau berkata, Perdana Menteri serta kerajaan BN melalui gagasan 1Malaysia sentiasa mendahulukan kesejahteraan, kepentingan dan kemakmuran rakyat.
"Justeru saya berpandangan apabila mahu meningkatkan taraf hidup rakyat, tidak perlu kita layan isu-isu remeh-temeh yang cuba dibangkitkan oleh pihak pembangkang.
"Saya juga amat yakin rakyat kini lebih bijak memahami, mendalami dan menjiwai perjuangan BN dan Perdana Menteri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri berkata, walaupun pembangkang tidak menyokong kerajaan tetapi mereka tidak boleh menghalang usaha baik yang dilakukan demi kepentingan rakyat.
Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn ketika memberikan reaksinya pula berkata, sifat pembangkang di Malaysia sememangnya begitu kerana matlamat perjuangan mereka hanyalah politik semata-mata.
"Inilah strategi pihak pembangkang. Meskipun satu-satu projek itu baik untuk rakyat, mereka akan sedaya upaya memutar belitkan isu agar projek itu dilihat buruk.
"Terdapat dua contoh projek yang telah diputar belit oleh pembangkang. Pertama, pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Corporation dan kedua, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) di Bursa Malaysia," katanya.
Beliau berkata, walaupun berusaha memutar belit fakta isu Lynas dan FGV, jelas yang kedua-dua projek berkenaan itu banyak memberikan manfaat kepada rakyat.
"Inilah 'hebatnya' pembangkang. Mereka memang bijak untuk putar belit isu berbanding BN. Kita di sebelah sini tidak ada kemahiran tersebut. Mungkin disebabkan mereka terlalu lama menjadi pembangkang," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment