My Add

Wednesday 4 July 2012

Dana RM8b MRT

Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Julai, 2012: Kerajaan menerbitkan sukuk "tranche" pertama bernilai RM8 bilion bagi membiayai sebahagian projek My Rapid Transit (MRT) bagi laluan Sungai Buloh - Kajang (Laluan Biru SBK).

Sukuk tersebut diterbitkan menerusi anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Dikorporatkan, Danainfra Nasional Bhd. (Danainfra), yang juga merupakan syarikat khas bagi mendapatkan dana untuk membiayai projek-projek infrastruktur oleh kerajaan dan projek MRT merupakan projek pertamanya.

Menurut Pegawai Prinsipal Danainfra, Fazlur Rahman Ebrahim, terbitan pertama sukuk tersebut akan dilaksanakan menerusi Program Nota Jangka Sederhana Islamik sehingga RM2.4 bilion dengan tempoh selama 10, 12 dan 15 tahun.

"Dijangka terbitan pertama adalah pada pertengahan bulan ini dan setakat hari ini, Danainfra telah menyediakan pembiayaan keseluruhan sehingga RM1 bilion bagi projek MRT," katanya semasa sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian Kertas Komersial Islamik dan Program Nota Jangka Sederhana dengan institusi-institusi kewangan di sini.

Majlis disaksikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Jelas Fazlur Rahman, Danainfra telah melantik empat bank sebagai Pengatur Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama iaitu AmInvestment Bank Bhd., CIMB Investment Bank Bhd., Maybank Investment Bank Bhd., dan RHB Investment Bank Bhd. bagi Program Pembiayaan Sukuk Dijamin Kerajaan.

Syarikat itu juga telah melantik lima bank lain sebagai Pengurus Utama Bersama bagi Program Pembiayaan iaitu Affin Investment Bank Bhd., Bank Islam Malaysia Bhd., Hong Leong Islamic Bak Bhd., HSBC Bank Bhd., dan Standard Chartered Bank Bhd.

Dalam pada itu, CIMB Investment Bank Bhd. dilantik sebagai penasihat prinsipal, manakala CIMB Islamic Bank dilantik sebagai penasihat syariah bagi program pembiayaan tersebut sementara Prokhas Sdn. Bhd. bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Danainfra.

"Kami mahu menerbitkannya pada setiap suku dan jumlah RM8 bilion itu dijangka habis diterbitkan pada 30 Jun 2013," tambah beliau lagi.

Projek MRT yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Julai 2011 dijadualkan beroperasi menjelang Julai 2017.

Fasa pertama yang melibatkan laluan SBK merangkumi perjalanan sejauh 51 kilometer.

Sehingga kini, 33 pakej kerja bernilai RM15.5 bilion telah dianugerahkan dan kos sebenar projek MRT laluan SBK hanya boleh ditentukan apabila kesemua pakej tender telah dianugerahkan menjelang akhir tahun ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment