My Add

Wednesday 4 July 2012

Kerjasama bursa ASEAN

*NAJIB ketika melancarkan tawaran permulaan awam prospektus Integrated Healthcare Holdings Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Azman Mokhtar (empat kanan) dan Mustapa Mohamed (empat kiri).

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Julai, 2012: Penyenaraian berkembar IHH Healthcare Bhd. (IHH) di Bursa Malaysia dan Singapura boleh menjadi pembuka langkah kerjasama lebih besar antara bursa-bursa saham di rantau ASEAN, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, penyenaraian itu juga akan mengukuhkan lagi pembangunan dan kematangan sektor penjagaan kesihatan swasta di negara ini untuk muncul sebagai penggiat utama di peringkat antarabangsa.

"Selepas kejayaan penyenaraian Felda Global Ventures Bhd. (FGV), kini giliran pengendali hospital kedua terbesar di dunia IHH untuk disenaraikan.

"Pencapaian ini jelas membuktikan kekuatan pasaran modal negara di tengah-tengah kegelapan senario kewangan global," katanya pada majlis pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) IHH di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Perdana Menteri berkata, pelancaran prospektus IHH ini merupakan IPO ketiga terbesar di dunia pada tahun ini selepas Facebook dan FGV.

Penyenaraian itu juga menunjukkan mengenai kemajuan program transformasi syarikat milik kerajaan (GLC).

''Ia telah menyaksikan kejayaan syarikat seperti Axiata, Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan CIMB memperluas operasi masing-masing di ASEAN dan lebih lagi menerusi pelan peluasan serantau bersepadu.

"Ia merupakan salah satu objektif kerajaan dalam menyokong syarikat-syarikat tempatan untuk menjadi juara peringkat rantau dan dunia.

"Menerusi penyenaraian ini, IHH akan memperkukuh peranannya sebagai kuasa utama dalam sektor penjagaan kesihatan global," katanya.

Pelancaran IPO ini juga, bakal menyaksikan IHH dinilai sebagai pengendali hospital swasta kedua terbesar di dunia yang disenaraikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment