My Add

Saturday, 28 July 2012

Ekonomi negara tidak stabil jika harga kereta diturunkan

TASEK GELUGOR, SABTU, 28 Julai, 2012: Negara akan mengalami keadaan ekonomi yang tidak stabil dan ramai yang menjadi muflis jika harga kereta serta duti eksais kenderaan diturunkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. 

Beliau berkata, penghapusan cukai bagi kereta akan mengurangkan cukai negara sebanyak RM7 bilion yang boleh menjejaskan pembangunan infrastruktur negara terutamanya di Sabah dan Sarawak serta pedalaman Semenanjung. 

Katanya, jika pembangkang membuat keputusan untuk menghapuskan cukai eksais, rakyat yang hidup dalam keadaan daif tidak dapat meningkatkan kehidupan sebab duit tidak ada. 

"Bila mereka hapuskan duti eksais harga kereta akan turun, itu betul... tapi kalau tiba-tiba turun (duti eksais) kedai second hand yang ada banyak kereta memang akan muflis dan orang yang bekerja di kedai itu macam mana? 

"Itu akan beri kesan sampingan kepada ekonomi. Nak kurangkan eksais itu boleh tapi kena fikir banyak aspek, keburukan dan kebaikannya," katanya selepas melawat rumah Leha Nayan sempena Program Tenaga Nasional Berhad (TNB) Prihatin di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli yang berjanji untuk menurunkan harga kereta jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 depan. 

Mohd Rafizi membuat kenyataan itu kerana melihat kononnya harga kereta sekarang ini membebankan rakyat tetapi tidak menyatakan bagaimana kesan penurunan harga kenderaan akan mempengaruhi sektor lain yang berkaitan. 

Nor Mohamed berkata, janji yang dibuat pakatan pembangkang jelas menunjukkan bahawa mereka kecetekan pemikiran kerana membuat kenyataan tanpa mengkaji dan memikirkan kesan yang akan diterima negara apabila kesemua janji itu dilaksanakan. 

“Sikap pembangkang itu sangat berlawanan dengan kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dengan membuat keputusan mengikut kebijaksanaan supaya ekonomi dapat dijana dan rakyat mendapat kemakmuran,” katanya. 

Mengenai Program TNB Prihatin, Nor Mohamed, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata program itu selari dengan hasrat kerajaan yang mahu memastikan semua rakyatnya mendapat bekalan elektrik yang mencukupi. 

Beliau berkata, hanya satu peratus penduduk di Semenanjung dan lima peratus di Sabah dan Sarawak yang masih belum mendapat bekalan elektrik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment