My Add

Saturday, 14 July 2012

Hentikan budaya mencaci, tuduh menuduh dalam media: Rais

JELEBU, SABTU, 14 Julai, 2012:: Budaya caci mencaci dan tuduh menuduh terutama kepada pemimpin negara yang dibuat menerusi saluran akhbar dan laman media sosial yang dilihat semakin berleluasa perlu dihentikan. 

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata amalan itu bukan hanya memecah-belahkan masyarakat di negara ini malah tidak membantu membangunkan negara.

 "Cuba kita buka akhbar hari ini dan kita akan dapat lihat berita caci mencaci, tuduh menuduh antara satu sama lain dibuat. Soalnya adakah ini sihat kepada negara kita? 

"Jika kita buka akhbar-akhbar dari negara luar seperti Singapura, China malah Australia, tuduh menuduh ini tidak menjadi isu, sebaliknya akhbar-akhbar mereka dipenuhi dengan berita bagaimana untuk membangunkan negara mereka," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jelebu 2012, di sini hari ini. 

Katanya, laman sosial terutama Facebook dan Twitter juga sudah menjadi saluran popular bagi individu untuk melemparkan pelbagai cacian dan tuduhan kepada individu lain. 

Katanya, masyarakat negara ini yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam seharusnya tidak cenderung kepada budaya caci mencaci dan menghabiskan masa dengan melayari laman sosial. 

"Jadi generasi Y yang gemar kepada laman-laman sosial ini perlu hindarkan diri dari terlibat dengan perkara-perkara sedemikian supaya kita dapat memikirkan cara bagaimana untuk memajukan negara," katanya. 

Dalam pada itu, Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu, berkata pimpinan UMNO peringkat cawangan perlu lebih aktif dan mempelbagaikan aktiviti mereka terutama dalam mendekati rakyat setempat. 

Katanya, pimpinan cawangan yang pada masa ini dilihat kurang aktif dalam menjalankan peranan, perlu berubah kerana mereka adalah kunci kepada kejayaan UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita ada banyak cawangan UMNO tapi agak kurang aktif dan hanya peringkat bahagian sahaja yang aktif. Jika kita semua dapat lebih aktif kita pasti mampu untuk mencapai kejayaan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment