My Add

Sunday 1 July 2012

Janda Baik pilihan terbaik Zoo Negara baru: Tiong Lai

BENTONG, SABTU, 30 Jun, 2012: Persekitaran hijau dan alam semulajadi yang masih terpelihara di sekitar Janda Baik di sini, dilihat menjadi pilihan terbaik bagi pembinaan zoo negara yang baru. 

Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Zoo Negara sedia ada kini dilihat tidak lagi sesuai berikutan pembangunan pesat yang berlaku di sekelilingnya.

"Bagaimanapun kerajaan masih belum memutuskan lagi sama ada akan dilaksanakan atau tidak, memandangkan ia masih dalam peringkat perancangan.
"Perancangan untuk memindahkan Zoo Negara ke kawasan Janda Baik dilihat pilihan terbaik kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan Kuala Lumpur. 

"Kawasan persekitaran yang menghijau di Janda Baik amat sesuai untuk dijadikan tempat tapak zoo bagi menempatkan pelbagai jenis haiwan. Namun begitu ia masih memerlukan perancangan teliti dan rapi bagi memastikan tidak menimbulkan masalah kepada penduduk," katanya selepas menghadiri majlis mesra bersama penduduk di Janda Baik, hari ini. 

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, sekiranya perancangan pemindahan Zoo Negara itu diluluskan ke kawasan berkenaan, sesi taklimat khas perlu diadakan kepada penduduk. 

"Ianya penting bagi memastikan penduduk mengetahui dengan jelas perkara itu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya. 
"Pemindahan Zoo Negara ke kawasan ini dilihat dapat menjadikan Janda Baik sebagai destinasi yang lebih terkenal dengan kepelbagaian produk pelancongan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment