TAWAU, SABTU, 28 Julai, 2012: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di negara bergolak Syria dan selamat kembali ke Sabah semalam, mengakui keadaan di Syria sememangnya berbahaya kepada pelajar Malaysia ekoran pertempuran tercetus di antara pihak pemberontak dengan tentera kerajaan.
Nurlina Abdullah, 26, pelajar tahun tiga Universiti Fatah Islami, Damsyik, berkata ekoran pertempuran yang berlaku itu tempat kediaman mereka juga tidak terkecuali daripada terkena peluru sesat.
"Pada awal Ramadan ini, kami mendengar banyak letupan bom dan ada antara peluru senjata itu tersasar mengenai rumah pelajar. Bunyi peluru dan bom yang meletup berasa dekat dengan telinga kami.
"Oleh kerana kawasan rumah kami dirasa berbahaya, kami berpindah dan berkumpul di tempat rakan-rakan yang lebih selamat," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Tawau dari Kuala Lumpur, semalam.
Ketibaan Nurlina disambut oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran serta beberapa ahli keluarga pelajar itu.
Menurut Nurlina, pada hari pertama pertempuran di antara pemberontak dengan pihak tentera kerajaan di kawasan kediaman mereka di Damsyik pada 15 Julai, keadaan memang teruk, demikian juga pada hari kedua sebelum reda pada hari ketiga membolehkan mereka keluar mencari barangan keperluan harian di kedai.
Bagaimanapun, katanya masuk hari keempat, pertempuran tercetus semula sehingga memaksa pelajar berpindah ke rumah rakan-rakan lain yang lebih selamat selepas rumah mereka terkena peluru sesat.
"Agak sukar meramalkan keadaan di Syria ini. Rata-rata pelajar melihat keadaan agak berbahaya. Sebab itu, walaupun telah berpindah ke rumah sahabat yang lain, kawasan itu masih tidak selamat, jadi kami bertawakal saja," katanya.
Mengulas keperluan bahan makanan ketika di Syria, Nurlina yang berasal dari Balung berkata, mereka tidak menghadapi masalah kerana sudah bersiap sedia dari awal lagi menyimpan makanan memandangkan keadaan yang tidak menentu itu.
"Alhamdulillah, makanan tu agak berlebihan, bahkan masyarakat Arab sendiri sangat baik kerana memberi makanan kepada kami (selain makanan simpanan sendiri). Cuma dari segi keselamatan tiada siapa yang dapat jamin," katanya.
Mengulas langkah kerajaan membawa pulang pelajar Malaysia dari Syria, Nurlina berkata tindakan itu amat tepat kerana keadaan di Syria sukar diramal dan juga demi keselamatan pelajar.
Katanya, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan, keduataan Malaysia dan pihak persatuan pelajar kerana atas kerjasama rapat mereka proses membawa balik pelajar dari Syria berjalan dengan baik.
Mengulas masa depan pengajiannya, jika boleh Nurlina berhasrat menghabiskannya di Syria kerana hanya berbaki setahun sahaja lagi, namun ia bergantung pada keadaan di sana.
Katanya, sekiranya keadaan di Syria tidak juga reda, mungkin beliau akan cuba melanjutkan pelajaran di negara ini lebih-lebih lagi sekiranya kredit di universiti asalnya itu boleh dipindahkan ke universiti tempatan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment