My Add

Sunday 29 July 2012

Pemberian bonus kepada penjawat awam langkah bijaksana

TASEK GELUGOR, SABTU, 28 Julai, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyifatkan pemberian bonus kepada penjawat awam dan bantuan khas kepada pesara kerajaan sempena Aidilfitri sebagai satu langkah yang bijaksana. 

Beliau berkata, pemberian bonus dan bantuan khas itu wajar memandangkan kebanyakan penjawat awam terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. 

"Pemberian untuk rakyat memanglah satu perkara yang bijaksana sebab antara 1.4 juta penjawat awam dan 600,000 pesara kebanyakan mereka bukan dalam kategori yang berpendapatan tinggi. 

"Kebanyakan mereka berpendapatan sederhana dan rendah dan mereka memang memerlukan duit tambahan seperti ini, khasnya pada musim perayaan," katanya selepas melawat rumah Leha Nayan, 76, yang menerima bekalan elektrik menerusi Program Tenaga Nasional Bhd (TNB) Prihatin di sini, hari ini. 

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas kepada pesara kerajaan, yang akan dibuat pada 9 Ogos. 

Ia memberi manfaat kepada 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan. 

Nor Mohamed berkata, pemberian bonus itu jelas menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara yang stabil kerana kerajaan berjaya menguruskan ekonomi dengan baik. 

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua kepada rakyat berdasarkan kepada keadaan ekonomi negara yang baik, beliau berkata, keputusan itu tertakluk kepada pertimbangan Perdana Menteri. 

Bagaimanapun, Nor Mohamed, yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata kerajaan sentiasa komited dalam mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat selain memastikan keselesaan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment