My Add

Wednesday 25 July 2012

Kemunculan sulung IHH Healthcare pada premium 27 sen

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Julai, 2012: IHH Healthcare Bhd (IHH), pengendali hospital terbesar di Asia, hari ini membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM3.07 dengan premium 27 sen berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) RM2.80 serta 35.771 juta saham diniagakan.

Sehingga jam 9.20 pagi, saham IHH diniagakan pada harga RM3.02.
Syarikat itu disenaraikan secara serentak di Malaysia dan Singapura.

Saham IHH, yang tersenarai di Singapura, dibuka pada harga S$1.22 atau peningkatan 9.0 peratus, debgan 8.84 juta saham diniagakan.

IHH Healthcare adalah syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan premium antarabangsa yang utama di dalam pasaran di mana permintaan mendapatkan penjagaan kesihatan berkualiti adalah kukuh dan berkembang dengan pantas.

Ia menyediakan satu spektrum penuh perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu dari klinik ke hospital, penjagaan suku tahunan dan pusat pemulihan pasca-operatif dan kepelbagaian perkhidmatan tambahan yang termasuk makmal diagnostik, pusat pengimejan, penjagaan ambulans dan pendidikan perubatan.

Ia juga adalah peserta utama di dalam pasaran dalam negara di Singapura, Malaysia dan Turki dan pasaran utama di China, Hong Kong dan India.
Ia juga mempunyai kehadiran di Vietnam, Brunei dan Macedonia dan mempunyai 24,000 pekerja dan lebih 4,900 katil di 30 hospital di seluruh dunia.

Pengarah Urusannya, Dr Lim Cheok Peng menyeru pemegang saham supaya berkembang dengan kumpulan itu dan tidak membuat spekulasi berikutan evolusi industri penjagaan kesihatan.

"Sasaran kami ialah untuk menggandakan perolehan dan keuntungan kami di dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan menjadi penyedia penjagaan kesihatan utama di dunia.

"Kami memperuntukkan perbelanjaan modal lebih RM6 bilion, 75 peratus daripadanya telah digunakan," katanya pada sidang media pasca kemunculan sulung di sini, hari ini.

Lim berkata, kumpulan itu akan melabur lagi RM1.6 bilion di dalam projek hospital baru di Timur Tengah dan China.

"Kami tiada masalah dengan perbelanjaan modal kerana aliran tunai tahunan kami dicatatkan RM1 bilion," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment