My Add

Thursday 5 July 2012

Lelaki acu pistol ditahan polis

PETALING JAYA, RABU, 04 Julai, 2012: Seorang penganggur yang baru dibebaskan dari penjara Simpang Renggam, ditahan semula awal hari ini selepas mengacukan pistol ke arah seorang anggota polis di Petaling Jaya Selatan 2, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata lelaki berusia 29 tahun itu turut menghentak kepala anggota polis dengan pemegang pistol itu menyebabkan anggota polis berkenaan cedera dan memerlukan lima jahitan.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 2.05 pagi, lelaki yang dibebaskan April lepas itu pada mulanya ditahan dua anggota polis kerana disyaki memecah sebuah kereta di kawasan berkenaan.

"Semasa ditahan, suspek merampas pistol milik seorang daripada anggota polis itu dan berlaku pergelutan menyebabkan suspek melepaskan satu das tembakan ke bawah tetapi tidak mencederakan sesiapa.

"Suspek kemudian bertindak mengacu pistol ke arah anggota polis berkenaan dan ketika cuba berundur pistol yang dipegang suspek terlepas dan dia terus diberkas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Yahaya berkata lelaki itu sebelum ini dipenjara mengikut Akta Darurat kerana mengugut dan mendatangkan ketakutan kepada orang awam.

Siasatan mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment