My Add

Thursday 5 July 2012

Exco Pulau Pinang kutuk Perkasa

MOHD ISKANDAR OTHMAN
GEORGETOWN, RABU, 04 Julai, 2012: Barisan Exco Kerajaan Negeri mengutuk tindakan ganas sekumpulan ahli Perkasa, didakwa cuba membuat kecoh dan mengancam keselamatan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika lawatan kerjanya ke Teluk Bahang 30 Jun lalu.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman yang mewakili barisan Exco berkata, mereka kecewa atas kejadian itu kerana ia melibatkan isu keselamatan pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri yang sedang melaksanakan tugasnya.

Menurutnya, Barisan Nasional dan Umno sudah tidak dapat lagi mencari kesalahan Kerajaan Negeri sehingga terdesak menggunakan cara samseng untuk menyerang Ketua Menteri.

“Mereka (BN) tidak dapat mencari kesalahan seperti rasuah, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran kerajaan sehingga terdesak melakukan serangan peribadi.

“Bukan sahaja melakukan serangan politik, malah kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini juga cuba mengheret keluarga Ketua Menteri dengan fitnah dan tuduhan palsu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hanya Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy dan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh tidak hadir. 

Dalam pada itu, Mansor turut kesal dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinangi, Datuk Abdul Rahim Jaafar sebelum ini yang seolah-olah sudah mengetahui tentang perancangan dan kehadiran kumpulan Perkasa pada hari kejadian.

“Bagaimana seorang Timbalan Ketua Polis boleh berkata 'kalau tidak kerana kehadiran polis, Ketua Menteri akan cedera lebih teruk lagi'.

“Kenyataanya ini seolah-olah polis terlebih dahulu mengetahui kehadiran kumpulan samseng ini. Barisan Exco mempersoalkan kenapa tiada langsung tindakan pencegahan diambil," katanya.

Mansor turut menggesa polis segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan samseng berkenaan selain mendesak pihak keselamatan memberi perlindungan sewajarnya kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment