My Add

Sunday 1 July 2012

Lihat rasional pemberian Netbook 1Malaysia: Salang

JULAU, Sarawak, SABTU, 30 Jun, 2012: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang, membidas mereka yang mengkritik langkah kerajaan mengagihkan komputer Netbook 1Malaysia secara percuma kepada pelajar dan pemimpin masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini. 

Beliau berkata, pengkritik ini sebaliknya meminta kerajaan memberi wang kepada kumpulan berkenaan.

"Tapi, mereka tidak melihat di sebalik langkah kerajaan itu, yang bertujuan memberi peluang sama rata kepada semua rakyat Malaysia untuk memperbaiki kehidupan masing-masing.

"Ini kerana, bagi generasi baru, memperoleh pengetahuan dalam bidang komputer, samalah seperti menguasai hari esok untuk menjalani kehidupan hari ini. 

"Kita tidak patut halang mereka daripada berjaya atau memiliki daya saing di pasaran pekerjaan atau perniagaan. 

"Kita juga tidak patut menafikan peluang mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih baik daripada kita," kata Salang, sambil mencadangkan agar jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung menjadikan usaha meningkatkan pengetahuan dalam bidang komputer sebagai antara agendanya. 

Beliau berkata demikian ketika melancarkan projek Kampung Wayarles (Wifi) dan merasmikan 'Gawai Ngiling Bidai' (penutup sambutan Gawai) di rumah panjang Rh Entili di Rayah Ili dekat sini hari ini.

Mengenai politik, Salang, Ahli Parlimen Julau selama tiga penggal, berkata beliau bersedia mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang. 

"Saya sedia berkhidmat sekiranya mendapat restu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai pengerusi BN negeri dan presiden Parti Rakyat Sarawak yang saya anggotai, Tan Sri Dr James Jemut Masing. 

"Tidak kurang pentingnya ialah sokongan daripada majoriti pengundi di Julau. Mungkin saya bukan pemimpin yang baik, tapi rakyat perlu melihat pada BN, yang saya wakili," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment