My Add

Tuesday 3 July 2012

Muhyiddin tiba di Jakarta untuk lawatan enam hari

JAKARTA, SELASA, 93 Julai, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk lawatan enam hari ke Indonesia dalam usaha meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara. 

Di ibu negara Indonesia hari ini, jadual lawatan beliau padat dengan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin kerajaan dan pemimpin tiga buah parti politik terbesar di republik itu. Pagi ini, beliau dijadual mengunjungi dan berbincang dengan Naib Presiden Indonesia Boediono mengenai pelbagai bidang kerjasama dan isu-isu dua hala yang sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara.

Terbaru ialah kontroversi yang tercetus berikutan cadangan Malaysia untuk mengiktiraf tarian Tor-tor dan paluan Gordang Sambilan masyarakat Mandailing di Malaysia, sebagai salah satu cabang warisan negara. 

Pengiktirafan itu, yang diperjuangkan oleh masyarakat Mandailing di Malaysia, mendapat bantahan daripada beberapa kumpulan masyarakat di Indonesia yang menafsirkannya sebagai usaha Malaysia untuk mengaku sebagai pemilik budaya masyarakat Mandailing yang berasal dari Sumatera Utara itu. 

Kontroversi itu, yang dihangatkan oleh media tempatan, menyebabkan beberapa kumpulan masyarakat Indonesia berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sehingga sekumpulan 50 anggota Pemuda Pancasila bertindak ganas dengan melempar batu dan merosakkan pintu pagar serta sebahagian bangunan Malaysia Hall di Menteng, Jakarta baru-baru ini. 

Muhyiddin dan rombongan pemimpin UMNO kemudian akan bertemu dan berbincang dengan Ketua Umum Parti Golkar Aburizal Bakrie, yang pada Ahad dengan rasmi dinamakan sebagai calon presiden Indonesia dari parti Golkar dalam pilihan raya Presiden pada 2014. 

Beliau dan delegasi UMNO juga akan bertemu dan berbincang secara berasingan dengan Ketua Umum Parti Demokrat Anas Urbaningrum dan Setiausaha Agung parti itu Edhie Baskoro Yudhoyono serta Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Megawati Soekarnoputeri dan suaminya yang juga Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) Taufik Kiemas. 

Turut serta dalam rombongan UMNO ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pelajaran, kemudian akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean serta mesyuarat lain yang berkaitan dengannya di Yogyakarta pada Rabu dan Khamis. 

Beliau akan meneruskan lawatan ke Bali dan dijadual antara lainnya mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bali I Made Mangku Pastika dan para pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pulau dewata itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment