My Add

Sunday, 1 July 2012

Murshid: Haram panggil PRU13 musim haji

SHAH ALAM, SABTU, 30 Jun, 2012: Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid), kumpulan pendakwah dan asatizah, mengambil ketetapan bahawa adalah haram jika kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada musim haji.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sekretariat sekumpulan 20 pendakwah berkata, jika PRU13 diadakan pada musim haji, ia merupakan satu pengkhianatan kepada amanah dan sistem pemilihan.

"Kami juga bersepakat bahawa pilihan raya dan proses pengundian tidak boleh atau haram dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar negara.

"Sekiranya pilihan raya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini kerana proses pengundi adalah satu proses kesajsian," kata kenyataan itu, lapor Sinar Harian

Sekretariat itu membuat pendirian ini ketika spekulasi bahawa PRU13 akan dipanggil pada musim haji menjadi kontroversi.

Dua minggu lalu, Pas membuat kenyataan ia khuatir kemungkinan PRU13 akan diadakan pada musim haji. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO mendakwa Pas membuat tuduhan tidak berasas.

Sehubungan itu, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menetapkan tarikh PRU13 lebih awal dan mengelakkan ia diadakan ketika musim haji.

Pada 22 Jun lalu, Najib berkata, BN tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya.

Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.

Kenyataan itu juga berkata, pihaknya telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihan raya sewaktu musim haji.

Katanya, proses pengundian adalah ibarat satu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah.

"Maka, sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah memastikan semaksimum mungkin penyertaan rakyat dalam pilihan raya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanah air.

"Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu dijamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai," katanya lagi.

Kenyataan itu menambah, dalil-dalil menunjukkan, apabila rakyat berada dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Justeru tambah kenyataan itu, dalam konteks pilihan raya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai saksi sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding.

"Justeru, sekiranya pihak berkuasa memutuskan pilihan raya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Jika seorang saksi tidak dibenarkan untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya diharamkan juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara," jelas kenyataan itu.

Justeru menurut kenyataan itu, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian sama ada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihan raya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun

Sehubungan itu kenyataan Murshid berkata, pihak berkuasa perlu teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya.

"Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini," katanya.

No comments:

Post a Comment