My Add

Sunday 1 July 2012

Kajian pengundi baru Selangor ke SPR bulan depan: Khalid

SHAH ALAM, SABTU, 30 Jun, 2012: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan membentangkan kajian berhubung senarai 500,000 pengundi baru di semua Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Julai ini. 

Katanya, laporan lengkap kajian itu yang akan diperoleh minggu depan adalah bagi mengenal pasti senarai pengundi baru yang didaftarkan sejak 2008 termasuk meneliti wujudnya pengundi dan alamat seperti yang disenaraikan SPR.

Beliau berkata, kajian terhadap senarai pengundi baru berkenaan dijalankan di semua 56 Dun di Selangor yang menyaksikan pertambahan pengundi antara 3,000 dan 21,000 orang bagi setiap kerusi Dun.

"Kita akan bertemu SPR dan bentangkan laporan kajian kita bagi memastikan senarai itu benar-benar telus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan yang akan diadakan SPR dengan semua parti politik di peringkat kebangsaan dan negeri bagi menerangkan hal-hal berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13, bermula bulan depan.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata 400,000 pengunjung dijangka menghadiri pesta buku yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, bermula semalam sehingga 9 Julai ini.

Katanya, sempena program itu, kempen '15 minutes Reading Break' dilancarkan bagi menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan penduduk semua peringkat umur di negeri itu.

Beliau berkata, pesta buku kali ini yang bertemakan 'Baca dan Amalkan' itu turut menawarkan iPad2 kepada pengunjung bertuah setiap hari. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment