My Add

Saturday 14 July 2012

Najib tidak mahu 1Malaysia jadi slogan atau retorik politik

HULU LANGAT, SABTU, 14 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Razak tidak mahu gagasan 1Malaysia tinggal sebagai slogan atau retorik politik semata-mata, sebaliknya mahu ia diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh dikecapi dan dinikmati oleh rakyat. 

Perdana Menteri berkata, dalam merealisasikan usaha itu, lebih banyak perkhidmatan dan produk bersandarkan 1Malaysia perlu diperkenalkan bagi membantu meringan beban kehidupan yang dihadapi rakyat pada masa kini. 

"Apabila diperkenalkan perkhidmatan dan produk 1Malaysia, senarainya tiada 'noktah' cuma ada 'koma' ... tiada akhir. Namun, kita tidak sewenang-wenangnya membenarkan 'branding' 1Malaysia ini digunakan. 

"Ramai yang memohon, ada yang saya setuju, ada saya tidak setuju. Apa yang penting perkhidmatan dan produk 1Malaysia mampu membantu rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Kedai Kain Rakyat 1 Malaysia (KKR1M) di sini, hari ini. 

Turut hadir pada perasmian kedai itu di No 1, Jalan Lagenda Suria, Taman Lagenda Suria di sini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar. 

Pada 8 Julai lalu, semasa berucap di program Janji Ditepati di Bandar Baru Bangi, Najib mengumumkan penubuhan kedai itu sebagai satu daripada inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu meringankan beban rakyat. 

Najib turut meluangkan kira-kira 20 minit untuk meninjau premis berkenaan sambil beramah mesra dengan pelanggan. 
Perdana Menteri menegaskan terdapat tiga kriteria dalam membenarkan nama 1Malaysia digunakan terhadap sesuatu perkhidmatan atau produk. 

"Pertama, perkhidmatan atau produk itu mesti untuk rakyat, kedua kualiti mesti lebih baik dan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana perkhidmatan atau produk yang tidak baik. 

"Ketiga, produk dan perkhidmatan itu mesti lebih murah daripada harga pasaran. Jika ketiga-tiga ini dipenuhi, barulah kita benarkan (guna nama 1Malaysia)," katanya. 

Najib berkata, dalam tempoh tiga tahun, kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan dan mengetengahkan pelbagai produk serta perkhidmatan 1Malaysia untuk membantu rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menerima sambutan hangat daripada rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment