My Add

Friday 27 July 2012

Operasi keluarkan pelajar Malaysia di Syria selesai

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Julai, 2012: Semua pelajar Malaysia di Syria yang terlibat dalam proses evakuasi telah berada di tanah air dengan kumpulan terakhir tiba semalam. 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata 130 pelajar berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik, Syria dan daripada jumlah itu 107 dibawa pulang oleh kerajaan. 

"Seramai tujuh pelajar pulang ke Malaysia atas inisiatif sendiri, lapan pelajar sedang bercuti atau berada di luar Syria dan lapan lagi masih bertegas untuk kekal di sana," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. 

Sabtu lalu, Anifah dilapor berkata kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria pulang ke tanah air dengan segera memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu. 

Kumpulan pertama sebanyak tujuh pelajar selamat tiba di tanah air pada Rabu lepas manakala kumpulan terakhir membabitkan 100 pelajar tiba semalam. 

Mengulas mengenai ekspatriat Malaysia di Syria, Anifah berkata sembilan orang telah kembali ke tanah air atas inisiatif sendiri manakala seorang masih berada di sana. 

Beliau berkata duta dan empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik akan kembali dalam masa terdekat. 

"Sehubungan itu bilik operasi Kementerian Luar Negeri telah ditutup secara rasminya. Sebarang pertanyaan lanjut orang awam boleh menghubungi 03-88874000 pada waktu pejabat dan 03-88874570 selepas waktu pejabat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment