My Add

Tuesday 10 July 2012

Penerbit Irshad Manji fail semak kehakiman

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Julai, 2012: - Syarikat penerbitan buku terjemahan Irshad Manji ”Allah, Kebebasan dan Cinta” menfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar serbuan dan penyitaan buku itu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya, Mohd Ezra Mohd Zaid menfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas melalui Tetuan Bashir & Co.

Mereka menamakan Jais, Ketua Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Selangor, Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan tindakan pegawai Jais yang menggeledah, merampas dan menyita 180 buku pada 29 Mei lepas dari premis perniagaan ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka juga memohon agar semua buku setebal 388 muka surat yang disita itu dikembalikan.

Selain itu, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan tangkapan bertarikh 29 Mei lepas dan pendakwaan oleh Jais terhadap Mohd Ezra.

Mereka turut memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung penyiasatan terhadap Mohd Ezra adalah terbatal dan tidak sah memandangkan ia tidak konsisten dengan Artikel 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan itu turut meminta Jais dilarang membuat atau meneruskan sebarang pendakwaan terhadap Mohd Ezra di Mahkamah Syariah sehingga semakan kehakiman selesai didengar.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa buku tersebut adalah suatu terjemahan daripada buku yang diterbitkan Random House Canada, anggota The Random House of Canada Limited, Toronto yang mempunyai 288 muka surat bertajuk “Allah, Liberty & Love”.

Mereka berkata, buku itu (versi bahasa Inggeris) berada di pasaran di negara ini sejak atau sekitar Jun 2011, dan pada 28 Mei lepas, Jais telah menggeledah syarikat penerbitan buku tersebut dan menahan Mohd Ezra sehari kemudian sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah Shah Alam. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment