My Add

Monday 23 July 2012

Pengusaan bahasa Inggeris penting hadapi era globalisasi

KOTA KINABALU, ISNIN, 23 Julai, 2012: Penguasaan bahasa Inggeris, yang juga antara bahasa antarabangsa utama oleh pelajar sekolah rendah penting bagi membolehkan mereka mahir berkomunikasi dalam bahasa itu terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi. 

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Jainab Ahmad, berkata pihaknya mengharapkan lebih ramai murid sekolah, khususnya di Sabah, mempunyai kebolehan memahami dan bercakap dalam bahasa antarabangsa itu yang juga satu kemahiran tambahan kepada penguasaan bahasa Melayu yang mantap. 

Katanya, tidak ramai murid sekolah rendah di negeri ini yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik, malah lebih menyedihkan ada yang langsung tidak memahaminya. 

"Penguasaan bahasa Inggeris penting lebih-lebih dalam era globisasi dan ICT sekarang ini. Pembelajaran bahasa Inggeris di dalam kelas tidak mencukupi untuk menguasai bahasa ini dengan baik. 

"Pelajar perlu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Jangan malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, belajarlah daripada pengalaman. Apabila selalu bertutur dalam bahasa Inggeris, penguasaan bahasa itu akan meningkat dari semasa ke semasa," katanya. 

Beliau berkata demikan semasa berucap merasmikan Program Bahasa Inggeris Royal Group di Sepanggar, dekat sini, hari ini yang menyaksikan pelajar dari tiga sekolah terpilih untuk mempelajari bahasa Inggeris secara percuma. 

Jainab, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Karambunai, berkata selain waktu pembelajaran subjek Inggeris, tidak ramai pelajar membaca buku Inggeris apatah lagi hendak bertutur dalam bahasa antarabangsa itu. 

"Bahasa Inggeris amat jarang sekali menjadi medium berkomunikasi. Mereka tidak menonton rancangan Inggeris di televisyen melainkan ada sarikata dan surat khabar serta majalah yang mereka baca hanya bahasa Melayu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment