*NAJIB bersalaman dengan anggota-anggota Rela semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Rela Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan SITI AIRUNNISA ALAUI
KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tahap keselamatan di negara ini terus bertambah baik tetapi masalah persepsi memberi gambaran sebaliknya.
Perdana Menteri berkata, ramai yang mempertikaikan mengenai tahap keselamatan di negara ini kerana insiden jenayah diperbesar-besarkan dan disebarluaskan dengan pantas dan mudah melalui pelbagai medium perhubungan kepada umum.
"Ini yang menjadikan sehari dua ini agak gempar, bila kita beritahu kadar jenayah menurun, ramai yang pertikai sebab mereka baca dalam media, internet dan sebagainya," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini, petang ini.
Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang dan Anugerah Tokoh Muda Rela.
Menurut Najib, dalam menangani jenayah masa kini, cabaran menjadi lebih besar untuk disesuaikan dengan perubahan suasana semasa.
Katanya, dari segi undang-undang untuk mengawal keselamatan kerajaan telah memansuhkan beberapa undang-undang lama yang mencerminkan keadaan lebih demokratik, moden dan progresif.
"Kalau tak suka Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ia telah dimansuhkan, begitu juga dengan Akta Buang Negeri. Tiada tindakan boleh diambil tanpa bukti nyata," ujarnya.
Sementara itu, Rela akan terus diperkukuhkan sejajar dengan peranannya yang menggambarkan kejayaan usaha kerajaan merakyatkan tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara.
"Rela perlu melalui transformasi yang bukan menguncupkan peranan mereka tetapi lebih penting dan relevan dalam konteks masyarakat masa kini.
"Kementerian Dalam Negeri semalam memberi satu lagi tanggungjawab baru apabila mereka akan mengawasi tempat letak kereta pusat beli-belah sebagai alternatif kerajaan memastikan anggota keselamatan berada di kawasan tumpuan jenayah," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment