My Add

Wednesday 4 July 2012

Petanda rakyat sudah sedar


*SHAFIE Apdal (kanan) berbual dengan Kamarul Ariffin Ujang (kiri) dan Mohd. Sani Mistam selepas Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli Kali Ke-9 di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh SOFIAN BAHAROM
KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Julai, 2012: Penolakan rakyat terhadap kepimpinan pembangkang sejak kebelakangan ini merupakan petanda mereka kini telah sedar pakatan itu tidak mampu mentadbir negara seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan pembangkang yang gagal mengotakan janji mereka selepas menerajui beberapa negeri memberi cerminan bahawa bukan senang untuk mentadbir sesebuah kerajaan.

"Ini tanda-tanda yang kita lihat, jangan rakyat mudah terikut dengan apa yang disensasikan mereka. Memang sedap bagi telinga kita mendengar kata-kata manis, namun janji itu akhirnya tidak akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya yakin penolakan rakyat mungkin disebabkan janji-janji yang tidak dikotakan. Sebenarnya bukan senang menjadi pemerintah, cakap sahaja memang senang, tetapi apabila menjadi pemerintah, ternyata bukan mudah.

"Banyak pertimbangan yang perlu kita lakukan untuk menjayakan agenda dan rancangan yang dijanjikan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli Kali Ke-9, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kamarul Ariffin Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Datuk Mohd. Sani Mistam.

Beliau diminta mengulas penolakan rakyat terhadap parti pembangkang sejak kebelakangan ini misalnya, Februari lalu, kira-kira 200 orang yang mewakili pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman terhadap kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Endau, Mersing untuk berceramah.

Minggu lalu pula, sekumpulan penduduk dan NGO setempat mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kehadiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng ke kawasan mereka di Teluk Bahang, Balik Pulau.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie mengambil contoh isu Kampung Buah Pala, Pulau Pinang yang menyaksikan perkampungan tersebut dirobohkan kerajaan DAP Pulau Pinang meskipun sebelum itu pembangkang dilihat membela penduduk kampung tersebut.

"Masyarakat di Kampung Buah Pala akhirnya mendapat pembelaan daripada Kerajaan Pusat. Satu lagi contoh adalah di Selangor, masalah air masih dalam keadaan yang rumit tetapi mereka tidak mementingkan masalah rakyat yang mahu minum air, apa yang penting adalah kuasa kerajaan negeri mereka.

"Pada mereka Kerajaan Persekutuan tidak harus campur tangan. Kita bukan hendak campur tangan untuk ambil kuasa mereka, kita masuk campur untuk memastikan masalah air diatasi bukan sahaja di Selangor malah Wilayah Persekutuan kerana sekiranya masalah air bertambah rumit, satu hari nanti, Kuala Lumpur juga akan tiada air," ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan negeri Selangor sepatutnya tidak melihat campur tangan itu daripada kerangka politik semata-mata, namun sebagai masalah keperluan harian yang perlu diatasi segera demi kelangsungan hidup rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment