My Add

Tuesday 24 July 2012

PM serah zakat Felda RM30.6 juta

*NAJIB Tun Razak memotong kek hari lahirnya yang ke-59 sambil disaksikan oleh isterinya, Rosmah Mansor, Muhyiddin Yassin (dua kanan), Dr. Mahathir Mohamad (kanan) dan Ashman Najib (kiri) sempena majlis berbuka puasa serta pembayaran zakat Kumpulan Felda di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. - BERNAMA

PUTRAJAYA, ISNIN 23 Julai, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan pembayaran zakat Kumpulan Felda berjumlah RM30.6 juta kepada 14 pusat zakat negeri.

Jumlah itu adalah untuk pembayaran zakat tahun 2011 oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) sebanyak RM10 juta (pembayaran zakat interim bagi keuntungan separuh tahun kewangan), Felda Holdings Bhd. (RM15.6 juta) dan Koperasi Permodalan Felda (RM5 juta).

Najib menyerahkan zakat itu kepada negeri-negeri yang diwakili Menteri Besar, Ketua Menteri dan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di sini.

Bayaran zakat kali kelapan itu adalah hasil daripada keuntungan operasi perniagaan Kumpulan Felda bagi tahun kewangan 2011.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut memotong pulut kuning dan kek ulang tahun hari lahirnya yang ke-59.

Najib turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Rumah Ilham (Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr. Ismail), Rumah Anak-Anak Yatim dan Saudara Baru Shifa' dan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR). — BERNAMA

No comments:

Post a Comment