My Add

Tuesday 24 July 2012

Pusat tolak Selangor ambil alih Syabas

*MUHYIDDIN Yassin berbincang bersama Peter Chin Fah Kui (kiri) pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu Bekalan Air Selangor di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA, ISNIN, 23 Julai, 2012: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Isu-isu Air Selangor hari ini menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa tersebut mendapati ada beberapa perkara substantif dan membabitkan prosedur yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan negeri dan juga Syabas.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara berhubung perkara tersebut secepat mungkin.

''Mesyuarat hari ini berpendapat walaupun ada peruntukan klausa 32 dalam perjanjian konsesi yang mengatakan dengan persetujuan Kerajaan Pusat, maka kerajaan negeri boleh mengambil alih pengurusan Syabas.

''Tetapi kita mendapat nasihat bahawa cadangan itu tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa yang dianggap substantif dan prosedural gagal dipenuhi oleh kerajaan negeri dan juga Syabas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Isu-isu Bekalan Air Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Pada 19 Julai lalu, kerajaan negeri memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memberi jawapan berhubung niatnya mengambil alih pengurusan Syabas.

Cadangan pengambilalihan itu dibuat kerana kerajaan negeri mendakwa telah bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian serta memastikan peralihan pengurusan berjalan lancar.

Menurut Muhyiddin, antara perkara substantif tersebut adalah berhubung air tak berhasil (NRW) yang diletakkan di bawah tanggungjawab Syabas sebagaimana termaktub dalam perjanjian konsesi.

Beliau menambah, ia juga ada kaitan dengan kegagalan kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan kenaikan kadar tarif air pada tahun 2009.

''Ia tidak diluluskan oleh kerajaan negeri dan dalam perjanjian itu disebut tentang pampasan yang perlu dibayar berikutan keputusan itu dan perkara itu kini dalam mahkamah," katanya.

Ditanya jika kerajaan negeri boleh memenuhi perkara substantif dan prosedural itu, beliau berkata, ia mesti berpandukan kepada perjanjian konsesi dan kedua-dua pihak mesti bersetuju berhubung cadangan tersebut.

''Perlu ada pihak yang ingin membeli dan masa yang sama, perlu ada pihak yang ingin menjualnya," katanya.

Menjawab soalan mengenai ketiadaan wakil kerajaan negeri Selangor, beliau berkata, mesyuarat pada hari ini adalah untuk peringkat Persekutuan meneliti pelbagai isu tersebut daripada pelbagai sudut.

''Tetapi dalam beberapa perkara tertentu, kerajaan negeri akan terlibat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment