My Add

Friday 27 July 2012

Polis patahkan cubaan 4 warga asing samun rumah

PETALING JAYA, JUMAAT, 27 Julai, 2012: Empat penjenayah dipercayai warga asing 'berputih mata' apabila niat mereka untuk menyamun sebuah rumah di Jalan 18/2A, USJ 21, Subang Jaya di sini, malam tadi, dipatahkan pasukan polis. 

Dalam kejadian jam 9.25 malam itu, empat lelaki terbabit melarikan diri selepas melihat kereta peronda polis tiba di pekarangan rumah teres dua tingkat itu.

Mengulas kejadian kepada pemberita di sini, malam tadi, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata perbuatan dua suspek memecah masuk ke dalam rumah berkenaan menyebabkan penggera keselamatan rumah itu berbunyi.

Sistem penggera itu disambung kepada telefon bimbit pemilik yang tiada di rumah ketika kejadian. Pemilik kemudian menghubungi polis yang bertindak menghantar sebuah kereta peronda ke tempat kejadian. 

"Pasukan polis yang tiba mendapati dua lelaki warga asing berada di dalam rumah tersebut manakala dua lagi rakan mereka menunggu dalam sebuah kereta jenis Toyota Estima. 

"Panik dengan keadaan itu dua lelaki di dalam kereta tersebut melarikan diri manakala dua lagi rakan mereka sempat melepaskan diri melalui pintu belakang rumah tersebut," katanya. 

Yahaya berkata, dua lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna itu bertembung dengan sebuah lagi kereta peronda ketika cuba melarikan diri dan polis melepaskan tiga das tembakan semasa mengejar suspek.

Dua suspek tersebut bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan meninggalkan kenderaan mereka di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, katanya dan menambah polis melancarkan 'Ops Tutup' bagi mengesan kesemua suspek. 

"Kita yakin dapat mengesan suspek dalam masa terdekat," katanya. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan disewa daripada sebuah agensi pelancongan dan empat suspek terbabit menginap di sebuah hotel di Bandar Sunway sejak empat hari lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment