My Add

Thursday 5 July 2012

Polis tahan 10 lelaki, tumpas sindiket tipu cek jurubank

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Julai, 2012: Polis menahan 10 lelaki tempatan, termasuk pemilik syarikat penghantar surat dan dokumen, yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan cek jurubank (Bankers Cheque) pelbagai bank tempatan. 

Polis turut merampas 41 cek jurubank yang bernilai RM373,353 dan wang tunai berjumlah RM81,600 daripada mereka yang terbabit. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata polis juga turut merampas 15 pelbagai cop setem yang menyerupai cop setem milik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

"Semua lelaki tempatan, kebanyakan mereka penghantar surat firma guaman dan bank, yang berumur 25 hingga 35 tahun, dipercayai terbabit dalam sindiket itu sejak tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Mohmad berkata, polis sedang menjejaki tujuh lagi anggota sindiket tersebut. 

Beliau berkata, semua 10 lelaki itu ditahan secara berperingkat mulai 21 Mei lalu hasil laporan polis oleh seorang pegawai CIMB Bank di sini pada 12 April berikutan kerugian hampir RM37,000 atas pelunasan 54 keping cek seperti itu. 

Mohmad berkata, pegawai CIMB melaporan cek jurubank yang diterima bank itu "bukan untuk dokumen perjanjian pengadu, sebaliknya dilunaskan ke atas dokumen perjanjian beberapa firma guaman berdasarkan semakan pada imej belakang." 
Berikutan laporan itu, polis sudah menahan seorang "wakil sokongan operasi" bank terbabit pada 21 Mei lalu yang membawa kepada penahanan sembilan orang lagi. 

Mohmad berkata, tangkapan kedua dibuat ke atas seorang penghantar surat firma guaman di Gombak Setia, dan menemui lapan keping cek jurubank yang bernilai RM4,925, dengan salah satu cek tersebut milik bank pengadu. 

"Hasil siasatan lanjut polis menyerbu sebuah Apartment Vista Mutiara di sini, dan menahan seorang penghantar surat sebuah syarikat penghantaran surat dan dokumen bebas dan merampas 33 keping cek jurubank yang bernilai RM368,612," katanya. 

Beliau berkata, polis kemudian memberkas enam lagi, termasuk pemilik syarikat itu dan dua pekerjanya, serta tiga orang penghantar surat pelbagai firma guaman yang dipercayai pelanggan yang akan membeli cek jurubank di pasaran. 

Semalam polis menahan seorang lelaki yang bekerja dengan sebuah syarikat insurans di Apartmen Lestari, Damansara Damai, Petaling Jaya, dan lelaki itu membawa polis ke sebuah rumah di apartmen yang sama, bagaimanapun pemilik rumah terbabit berjaya melarikan diri. 

Polis menemui pelbagai cop setem yang menyerupai cop setem milik LHDN serta wang tunai RM81,600 di rumah tersebut. 

Mohamad berkata, siasatan awal polis mendapati modus operandi sindiket itu menyalahgunakan cek jurubank institusi perbankan negara ini dengan memalsukan cop setem LHDN dan membayar sebanyak 20 hingga 30 peratus komisyen kepada penghantar surat tersebut untuk menjual kepada pelanggan yang tidak menyedari cek tersebut sudah dipalsukan. 

"Cek tersebut juga turut ditawarkan kepada penghantar surat dari firma peguam yang telah diberikan wang tunai untuk membeli cek juruwang daripada bank, tetapi tidak berbuat demikian sebaliknya membeli daripada ahli sindiket dengan harga yang lebih rendah iaitu antara 25 hingga 30 peratus. 

"Kita percaya masih ada lagi bank-bank yang akan menjadi sasaran utama untuk sindiket ini," katanya. 

Mohmad berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment